Pengarah Kanan, Sektor Perdagangan, Pengedaran dan Perniagaan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Dato’ Rohaizi Bohari (kiri) bersama Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin) Datuk Ameer Ali Mydin (tengah) melihat barangan tempatan yang dijual selepas majlis Pelancaran Bangga Buatan Lokal sempena Kempen Beli Barangan Malaysia di Mydin USJ, Subang Jaya pada 29 September 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Mydin pasar 2,000 produk usahawan tempatan, catat jualan RM2.7 bilion

SUBANG JAYA, 29 SEPT: Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin) memasarkan lebih 2,000 produk keluaran 250 usahawan tempatan di seluruh rangkaian pasar rayanya sebagai usaha membantu golongan terbabit.

Pengarah Urusan Datuk Ameer Ali Mydin berkata selaku syarikat tempatan yang ditubuh sejak 66 tahun lalu, pihaknya memahami cabaran dihadapi peniaga tempatan dalam membina nama dan mendapat kepercayaan masyarakat.

“Peningkatan keseluruhan jualan produk tempatan yang mencatatkan jumlah RM2.7 bilion tahun lalu menunjukkan keinginan pengguna membeli barangan tempatan telah meningkat khususnya dengan anjuran kempen kesedaran seperti Kempen Beli Barangan Malaysia.

“Justeru, kita beri ruang dan peluang kepada usahawan memasarkan produk selain memberi bimbingan dan latihan jika perlu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Karnival Jualan ‘Bangga Buatan Lokal’ yang dirasmikan Pengarah Kanan Sektor Perdagangan Pengedaran dan Perniagaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Dato’ Rohaizi Bahari di Mydin USJ di sini hari ini.

Pengarah Kanan, Sektor Perdagangan, Pengedaran dan Perniagaan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Dato’ Rohaizi Bohari (tengah) bersama Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad (MYDIN) Datuk Ameer Ali Mydin (dua, kiri) merasmikan majlis Pelancaran Bangga Buatan Lokal sempena Kempen Beli Barangan Malaysia di Mydin USJ, Subang Jaya pada 29 September 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Sementara itu, Rohaizi menggalakkan mana-mana pasar raya untuk terus mempromosi produk tempatan yang kini setanding dengan barangan luar menerusi Kempen Beli Barangan Malaysia.

Beliau berkata setiap pasar raya yang menganjurkan kempen tersebut bebas menggunakan pendekatan masing-masing dalam menyokong pembelian barangan buatan Malaysia.

“Usahawan tempatan yang mempunyai produk berkualiti disarankan untuk memohon logo buatan Malaysia. Permohonan logo ini percuma dan lebih menyakinkan pengguna sekali gus beri galakkan untuk memasarkan produk ke pasaran luar.

“Cuma kita harap usahawan-usahawan ini bersedia memenuhi permintaan pasar raya sekiranya berlaku peningkatan jualan produk-produk mereka,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Rohaizi berkata pihaknya akan membawa usul memasarkan produk tempatan ke Program Jualan Rahmah di seluruh negara menerusi satu mesyuarat dalam masa terdekat.

“Buat masa ini, Program Jualan Rahmah yang dianjurkan di seluruh negeri ada membawa produk luar dan tempatan.

“Namun, saya akan bawa usul supaya usahawan tempatan dapat memasarkan produk masing-masing menerusi Program Jualan Rahmah,” katanya.


Pengarang :