Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melawat pameran selepas merasmikan Ekspo Hartanah Selangor di I-City Mall, Shah Alam pada 30 September 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Negeri optimis capai sasaran bina 60,000 unit Rumah Selangorku menjelang 2025

SHAH ALAM, 30 SEPT: Kerajaan Negeri optimis untuk mencapai sasaran membina 60,000 unit Rumah Selangorku menjelang 2025.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata 45,000 unit rumah berkenaan dijangka siap dibina menjelang akhir tahun ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap pada Ekspo Hartanah Selangor di I-City Mall, Shah Alam pada 30 September 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Kita sudah sampai ke 45,000 (unit) menjelang akhir 2023. Jadi kita hanya perlu pantau dan pastikan projek-projek ini siap.

“Dalam keadaan pemulihan ekonomi walaupun perlahan tetapi bertambah baik saya percaya kebolehan dan kemampuan orang untuk membeli hartanah terutama harga mampu milik (RM250,000 ke bawah) dapat dipertingkatkan.

“60,000 (unit) menjelang 2025 saya rasa boleh dicapai dan dilakukan. Cuma 2024 dan 2025 ini, kita kena agresif sikit memastikan semua projek berada dalam landasan dan tidak terlewat,” katanya selepas merasmikan Ekspo Hartanah Selangor di Central i-City di sini, hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bergambar bersama penerima surat tawaran Rumah Selangorku pada Ekspo Hartanah Selangor di I-City Mall, Shah Alam pada 30 September 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Amirudin berkata pihaknya juga sedang melihat keperluan menubuhkan pasukan khas untuk menangani projek perumahan terbengkalai.

“Isu besar rumah terbangkalai ini kita (Kerajaan Negeri) sebenarnya tiada ‘locus standi’ (perintah tetap). Kerajaan Negeri datang hanya membantu dan daripada segi kuasa sebenarnya antara pemaju dan juga pembeli,” katanya.

Sementara itu, EXCO Perumahan Borhan Aman Shah berkata Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor telah menjadi pemudahcara dalam usaha memulih atau menyelesaikan masalah projek terbengkalai.

“Sehingga kini sebanyak 100 projek melibatkan 38,324 unit telah berjaya dipulihkan kembali,” katanya.

 


Pengarang :