Perbarisan penguat kuasa tamat latihan kursus asas penguat kuasa Selangor siri 2/2023 di Pusat Latihan Penguat Kuasa Selangor (Pulapes) Jugra pada 29 September 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Pelatih terbaik sebak tak dapat kongsi kejayaan bersama ibu bapa

BANTING, 29 SEPT: Dinobat pelatih keseluruhan terbaik kursus asas penguat kuasa Selangor siri dua 2023 menjadi detik manis buat Suratul Hajar Mohd Nasir, biarpun tidak dapat berkongsi kegembiraan bersama ibu bapanya yang sudah meninggal dunia.

Suratul, 31, yang berkhidmat sebagai penguat kuasa di Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) sejak lapan bulan lalu tidak menjangka menerima pengiktirafan itu yang lazimnya memihak kepada penguat kuasa lelaki.

Penerima Anugerah Pelatih Keseluruhan Terbaik Suratul Hajar Mohd Nasir pada majlis perasmian penutup tamat latihan kursus asas penguat kuasa Selangor siri 2/2023 di Pusat Latihan Penguat Kuasa Selangor (Pulapes) Jugra pada 29 September 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Menurutnya, kejayaan diraih hari ini selepas 46 hari mengikuti modul berkait penguat kuasa didedikasikan khas buat ibunya yang pulang ke negeri abadi enam bulan lalu manakala bapanya kembali Rahmatullah ketika dia di bangku persekolahan.

“Alhamdulillah, sebenarnya saya tidak sangka terpilih menerima anugerah ini kerana biasanya lelaki (dapat). Jadi saya berasa agak sangat terkejut dan terharu.

“Cuma saya terkilan emak dan ayah tiada di sisi meraikan kejayaan saya ini. Jika ada pasti mereka bangga memandangkan saya sangat suka kerjaya ini sejak kecil.

“Malah arwah tahu saya aktif dalam aktiviti badan beruniform kadet bomba ketika sekolah. Apapun saya hadiahkan kejayaan ini buat kedua-dua arwah orang tua saya,” katanya ditemui Selangorkini.

Pertunjukan Tempur Tanpa Senjata (TTS) pada majlis perasmian penutup tamat latihan kursus asas penguat kuasa Selangor siri 2/2023 di Pusat Latihan Penguat Kuasa Selangor (Pulapes) Jugra pada 29 September 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD

Dia yang kini tinggal bersama keluarga angkat di Selayang berkata banyak pengalaman ditimba sepanjang menjalani kursus di Pusat Latihan Penguat kuasa Selangor (Pulapes) Jugra di sini termasuk mengerat hubungan dengan penguat kuasa dari pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi Kerajaan Negeri lain.

“Sebelum ini di MPKj saya sudah menjalani kursus selama dua bulan dan bekerja sebelum masuk ke Pulapes untuk kursus seterusnya.

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Mohamad Zahri Samingon melakukan pemeriksaan barisan tamat latihan kursus asas penguat kuasa Selangor siri 2/2023 di Pusat Latihan Penguat Kuasa Selangor (Pulapes), Jugra pada 29 September 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Di sini (Pulapes) platform untuk kami mendapatkan kerjasama dengan rakan-rakan penguat kuasa lain melalui penyertaan dalam modul disediakan,” katanya yang tekad memberi perkhidmatan terbaik.

Sementara itu, Pelatih Kepimpinan Terbaik Afiq Asnawi Abd Halim berkata ibu bapa dan arwah bapa saudaranya menjadi pembakar semangat untuk dia menceburi bidang penguatkuasaan.

Anak kedua daripada empat beradik berusia 31 tahun itu berpeluang menyertai banyak misi bencana termasuk Selangor, Pulau Pinang, Johor dan Kedah sejak bertugas di Unit Pengurusan Bencana Negeri pada 2016.

“Kali ini saya masuk kursus untuk memantapkan lagi kemahiran saya. Macam-macam diajar oleh jurulatih terutama aspek disiplin dan kawad.

Penerima Anugerah Pelatih Kepimpinan Afiq Asnawi Abd Halim pada majlis perasmian penutup tamat latihan kursus asas penguat kuasa Selangor siri 2/2023 di Pusat Latihan Penguat Kuasa Selangor (Pulapes), Jugra pada 29 September 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Terima kasih kepada emak dan ayah termasuk arwah pakcik kerana sentiasa beri dorongan walaupun saya jarang ada di rumah. Alhamdulillah saya dapat tempuhi dengan jayanya,” katanya berazam menggalas tanggungjawab dengan jujur.

Terdahulu, majlis perbarisan tamat latihan kursus itu disempurnakan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan) Mohamad Zahri Samingon.

Selain anugerah pelatih keseluruhan terbaik dan pelatih kepimpinan terbaik, Mohamad Zahri turut menyampaikan anugerah akademik terbaik, kawad terbaik serta aktiviti luar terbaik.

Perbarisan penguat kuasa tamat latihan kursus asas penguat kuasa Selangor siri 2/2023 di Pusat Latihan Penguat Kuasa Selangor (Pulapes) Jugra pada 29 September 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Pengarang :