AGENDANASIONAL

Bomba sahkan insiden letupan kecil di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang

KUALA LUMPUR, 24 OKT: Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur (JBPMKL) mengesahkan terdapat letupan kecil di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) berhampiran Bukit Tunku, di sini hari ini.

Jurucakap JBPMKL berkata letupan berkenaan melibatkan sebuah bilik voltan rendah di tingkat bawah tanah bangunan berkenaan.

Beliau berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 2 petang dan sebuah jentera bersama van bomba tiba di lokasi sembilan minit kemudian dengan tujuh keanggotaan dari Balai Bomba dan Penyelamat Sentul.

“Komander pasukan melaporkan terdapat lubang berdiameter dua kaki kesan letupan berkenaan. Tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan dan letupan berpunca daripada kebakaran kabel bawah tanah.

“Kesemua petugas LPP disahkan selamat dan mereka dibenarkan memasuki bangunan itu pada 2.55 petang hari ini,” katanya kepada Bernama hari ini.

Sementara itu, tinjauan Bernama di lokasi kejadian mendapati beberapa pengamal media yang sepatutnya menghadiri satu sesi libat urus bersama Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu di menara LPP, sempat merakamkan detik kakitangan LPP diarah mengosongkan bangunan kira-kira 2 petang.

Selain itu, sebuah kenderaan bomba kelihatan tiba di pintu masuk bangunan berkenaan untuk mengambil tindakan awal kebakaran.

Semua kakitangan LPP dan ketua pengarang media yang dijadualkan bertemu dengan Mohamad pula masih berada di luar pekarangan bangunan sementara menunggu keadaan terkawal dan selamat untuk dimasuki semula.

– BERNAMA


Pengarang :