Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari menyerahkan Baucar Skim Mesra Usia Emas (SMUE) kepada penerima ketika Program Gotong-Royong di Dewan Indian Settelment Batu Caves, Gombak pada 16 September 2020. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

DUN Bandar Baru Klang edar 2,000 baucar SMUE mulai Ahad ini

SHAH ALAM, 19 OKT: Sebanyak 2,000 baucar Skim Mesra Usia Emas (SMUE) akan diedarkan kepada penerima di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Baru Klang Ahad ini.

Wakil rakyatnya Dr Quah Perng Fei berkata agihan dilakukan di pusat membeli-belah Klang Parade aras dua, bermula jam 11 pagi.

“Penerima yang layak diminta hadir menebus baucar itu pada hari tersebut dan mereka boleh beli barangan secara terus di lokasi sama. Semoga sumbangan Kerajaan Negeri ini meringankan beban penerima,” katanya kepada SelangorKini.

Sementara itu, Dr Quah berkata permohonan bagi baucar RM200 Jom Shopping Deepavali masih dibuka dan boleh dimohon di pusat khidmat masyarakat DUN Bandar Baru Klang.

“Sebanyak 400 baucar disediakan tahun ini dan kita akan mengenal pasti penerima yang layak sahaja memperoleh manfaat ini.

“Permohonan masih dibuka, pemohon boleh hadir ke pusat khidmat kami dengan membawa dokumen lengkap seperti kad pengenalan dan slip gaji terkini,” jelasnya.

Sebelum ini, EXCO pembasmian kemiskinan berkata 22,000 baucar beli-belah disediakan sempena Deepavali tahun ini membabitkan peruntukan keseluruhan RM4.4 juta.

Menurut V Papparaidu setiap DUN termasuk 22 kawasan pembangkang menerima kuota antara 300 hingga 600 baucar bergantung bilangan penduduk India di kawasan masing-masing.

Belanjawan Selangor 2023 memperuntuk RM16.48 juta bagi program pemberian baucar Jom Shopping sempena perayaan yang bakal memanfaatkan 82,400 penerima.

Selain Deepavali, program bantuan itu turut diberi kepada keluarga kurang berkemampuan bagi menyambut Aidilfitri dan Tahun Baru Cina untuk membeli barangan keperluan.


Pengarang :