EXCO Belia dan Sukan Mohd Najwan Halimi menyembahkan cendera kenangan berupa set alatan sukan pickleball kepada Tengku Amir Shah sebagai tanda penghargaan dalam pertemuan pada 3 Oktober 2023. Foto Laman X Najwan Halimi
EXCOSELANGOR

EXCO sembah taklimat pembangunan atlet, usahawan kepada Raja Muda Selangor

SHAH ALAM, 3 OKT: EXCO belia dan sukan menyembah taklimat berhubung perancangan dan gerak kerja jawatankuasa tetapnya kepada Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor di sini, hari ini.

Dalam pertemuan itu, Mohd Najwan Halimi bersama pegawai negeri menerima nasihat, pandangan dan cadangan Tengku Amir Shah untuk meneroka inisiatif dalam mengupayakan potensi belia.

Memaklumkan perkara tersebut di laman X, beliau menjelaskan pembangunan atlet dan usahawan negeri ini turut disentuh dengan penekanan pembudayaan ilmu dan pemantapan sahsiah.

“Menjunjung kasih ke bawah DYTM Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah yang berkenan menerima patik menghadap untuk sembah taklimat terkait perincian perancangan serta gerak kerja Jawatankuasa Tetap Belia, Sukan & Keusahawanan Negeri Selangor, hari ini.

“Saya bersama pegawai Kerajaan Negeri turut menerima titah nasihat, pandangan dan cadangan dari DYTM Tuanku untuk meneroka inisiatif serta pendekatan baharu dalam ikhtiar mengupayakan potensi belia, atlet dan usahawan dengan penekanan kepada pembudayaan ilmu dan pemantapan sahsiah,”katanya.

Dalam pertemuan itu, Mohd Najwan menyembahkan cendera kenangan berupa set alatan sukan pickleball kepada Tengku Amir Shah sebagai tanda penghargaan dan mendoakan Baginda sentiasa dalam afiyah.

“Pickleball merupakan salah satu sukan baharu yang mulai berkembang di Malaysia dan memiliki peminat tersendiri termasuk DYTM Tuanku sendiri. Ia seakan-akan sukan tenis namun dimainkan di gelanggang yang bersaiz lebih kecil.

“Patik mendoakan semoga DYTM Tuanku sentiasa dalam ‘afiyah dan dikurniakan hikmah serta kebijaksanaan dalam urusan kepimpinan demi kesejahteraan dan kemakmuran rakyat negeri Selangor,” katanya.


Pengarang :