Pengusaha Daging Dendeng Kak Bell Nurul Nabila Rozali menunjukkan produk keluaran syarikatnya ketika temu bual di Taman Melur, Ampang pada 26 September 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Jatuh lepas tersungkur, jualan daging dendeng lonjak rezeki

Nurul Nabila Rozali menerawang jauh. Dia sedar di mana silapnya sehingga dua syarikat miliknya bersama suami gulung tikar tujuh tahun lalu.

Mudah tergoda tawaran projek besar tanpa penilaian risiko, perniagaan mengalami kerugian besar. Ditambah kurang pengalaman, beliau tidak dapat menyelamatkan syarikatnya.

Wanita berumur 33 tahun itu terduduk. Semuanya hilang sekelip mata. Hendak makan pun susah. Untuk tambah nilai telefon pun terpaksa minta orang tua. Dari kondominium mewah, Nurul Nabila menumpang pangsapuri emak dan ayahnya hampir setahun.

“Pada 2016 kami mula jatuh. Projek sangkut, modal juga sangkut. Forex (pelaburan mata wang asing) rugi. Ibarat jatuh ditimpa tangga, kereta Vellfire pula hilang. Mercedes dan BMW kami jual, beli kereta terpakai murah sahaja.

“Bayar sewa kondominium tidak mampu, pindah ke rumah ayah di Flat Sri Johor. Dulu mewah tetapi kuasa Tuhan, sekejap sahaja Dia tarik sampai makan pun susah. Tambah nilai telefon pun minta emak belikan,” katanya pada 26 September.

Pengusaha Nurul Nabila Rozali merebus daging segar untuk produk daging dendengnya ketika temu bual bersama usahawan PKNS Mexpro Kak Bell Daging Dendeng di Taman Melur, Ampang pada 26 September 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Sebelum itu, anak kedua daripada tiga beradik itu menguruskan syarikat bersama suami Sufian Jamaludin, 42. Mereka mengimport tayar dan beras selain melibatkan diri dalam industri minyak dan gas serta dagangan mata wang secara aktif.

Akibat salah percaturan, perniagaan mereka ditutup. Gaya hidup mewah Nurul Nabila selama tiga tahun bertukar.

Pemegang sijil menjahit Giat Mara itu enggan mengalah. Pada 2017, dia mengambil keputusan berniaga semula. Produk daging dendeng jenama Kak Bell dilahirkan.

Menerusi ilmu YouTube, Nurul Nabila mempelajari masakan daging dendeng. Sesudah mahir, wanita itu memulakan perniagaan berkenaan dengan modal RM200 pemberian suami.

“Saya belajar buat daging dendeng melalui YouTube dan Google sahaja tetapi sebab semangat itu kuat saya berjaya juga kuasai resipi dan rasa yang kena dengan cita rasa saya.

“Dengan modal yang ada, mula-mula saya beli daging cuma dua kilogram (kg) dan perkakasan lain. Emaklah yang banyak tolong. Jual di Facebook, tidak sangka habis pula.

“Hasil jualan saya buat modal beli dua kg daging lagi. Macam itulah saya pusing-pusing modal,” katanya.

Penyediaan daging dendeng Kak Bell perlahan-lahan meningkat daripada dua kg kepada 10kg seminggu.

Bimbingan

Mengambil iktibar kegagalan lalu, Nurul Nabila mengikuti kelas bimbingan usahawan anjuran Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera, Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi).

Dia juga berusaha mendapatkan pelbagai geran pembiayaan bagi membeli pelbagai mesin, peti sejuk beku dan kelengkapan lain.

Hasilnya, wanita itu mempunyai lima peti sejuk beku, satu mesin masak pelbagai guna dan mesin penyedut untuk pembungkusan.

Selain itu, beliau menyertai kelas bimbingan usahawan anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) seperti Program Siswazah (GROW) dan PKNS Mexpro (Pecutan Pasaran Untuk Produk Eksport & Runcit).

Pengusaha Daging Dendeng Kak Bell Nurul Nabila Rozali menyusun produk daging dendeng dalam peti sejuk beku ketika temu bual di Taman Melur, Ampang pada 26 September 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Berselang dua tahun kemudian, pada 2019, jualan diraih mencecah RM10,000 sebulan dan meningkat RM20,000 ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac 2020.

Berikutan pengeluaran semakin meningkat, Nurul Nabila memindahkan operasi perniagaan di rumah teres Taman Melur, Ampang Jaya pada 2021.

Sesudah PKP berakhir, jualan produknya menjana RM30,000 sebulan. Beliau turut menambah produk lain Sambal Goreng Krancie, Pulut Kuning Kak Bell dan Cili Kisar Hizs.

“Setiap kali bulan puasa tidak menang tangan. Mula sebelum bulan puasa sampai habis Syawal jualan boleh cecah RM70,000 sebulan,” katanya.

Berada pada tahap kedua program PKNS Mexpro, produk jenama Kak Bell laris menerusi platform media sosial terkenal seperti Shopee dan Lazada. Nurul Nabila mahu memperoleh status halal sebelum melebarkan pasaran ke pasar raya di seluruh negara.

“Walau saya bukan (lagi) jutawan tetapi saya dapat rasakan hidup lebih tenang, lebih-lebih lagi ayah dan emak selalu ada dengan saya,” katanya.


Pengarang :