Petugas kesihatan membuat pemeriksaan ke atas salah seorang peserta progam Selangor Saring di Hotel Grand Sabak, Sabak Bernam pada 28 Mei 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOPILIHAN MINGGUANSELANGOR

Tumpu program pencegahan, galak lebih ramai buat pemeriksaan kesihatan

KLANG, 15 OKT: Kerajaan Negeri bercadang memperkasa sektor kesihatan awam tahun depan dengan menumpukan kepada program berbentuk pencegahan.

EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin berkata mencegah sesuatu penyakit adalah amat penting bagi mengelak sebarang komplikasi lebih kronik.

“Saya telah berbincang dengan pihak Upen (Unit Perancang Ekonomi) Selangor iaitu kita berpendapat bahawa sebenarnya penting untuk melakukan program berbentuk pencegahan.

“Tahun depan kita berhasrat perbanyak program pencegahan dan menggalakkan lebih ramai individu membuat saringan kesihatan untuk kenal pasti penyakit pada peringkat awal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Karnival Anak Selangor Anak Sihat (ASAS) yang diadakan di Sekolah Kebangsaan (1) Jalan Batu Tiga di sini semalam.

Mengulas harapan beliau menerusi belanjawan negeri tahun depan, Jamaliah berkata pihaknya akan memastikan peruntukan bagi portfolio kesihatan dapat dimanfaatkan sebaiknya.

“Setiap EXCO sudah pasti mahukan tambahan dana tetapi ia bergantung kepada arah tuju pembangunan dirancang Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

“Namun, sekiranya ada tambahan dana mahupun tidak kita akan memastikan peruntukan portfolio kesihatan dapat dioptimumkan atau prestasi tinggi daripada aspek kesihatan awam,” ujarnya.


Pengarang :