Wawancara Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin di pejabat beliau di Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya pada 20 November 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Anwar perkukuh demokrasi, lindungi institusi raja

Tanggal 24 November genaplah setahun Datuk Seri Anwar Ibrahim menerajui negara. Pelbagai pencapaian dan pembaharuan diperkenal sepanjang tempoh tersebut. 

Pengenalan konsep Malaysia Madani, strategi menangani isu ekonomi, kepentingan Islam, hubungan antarabangsa dan usaha memartabat bahasa Melayu antara topik yang dikupas. 

Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin turut berkongsi perkembangan setahun kepada Pengarang Kumpulan Fathi Aris Omar, Ketua Pengarang Selangorkini Fazallah Pit dan wartawan Norrasyidah Arshad. 

Ikuti wawancara siri pertama: Anwar tokoh pembina negara, bawa Malaysia menuju era gemilang 
________________________________________________________________________

Hubungan antara kaum sering berkocak dek permainan politik pembangkang. Bagaimana Kerajaan Perpaduan boleh menangani isu-isu ini untuk menjalin keharmonian antara kaum?

Kita lihat kadang-kadang ia jadi pasang surut. Apabila beri tumpuan lebih sikit ada orang Melayu, yang bukan Melayu berasa kita tidak berlaku adil. Dalam hal ini, yang digagaskan perdana menteri membangun Malaysia Madani, itu jelas kerangkanya. Ia bukannya bantu orang Melayu sehingga mengkesamping yang bukan Melayu atau bantu bukan Melayu sehingga mengkesamping orang Melayu.

Apabila kita bercakap tentang ihsan, ihsan itu untuk semua. Ada Jualan Rahmah. Tidak ada Jualan Rahmah untuk orang Islam sahaja. Tidak. Jualan Rahmah itu untuk semua. Ia lebih umum dan itu yang dilakukan. Misalnya lagi, Sumbangan Tunai Rahmah (STR). Tahun ini lebih sembilan juta penerima tanpa mengira kaum. Itu diberi kepada semua kumpulan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersalaman dengan jemaah selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek As-Solihin, Kanchong Darat, Kuala Langat pada 5 Mei 2023 Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Dengan pelaksanaan seperti ini, ia membuka mata pengkritik-pengkritik perdana menteri bahawa dasar ini sebenarnya baik dan bertujuan untuk membantu rakyat berdepan cabaran ekonomi. Dari segi sekolah baru-baru ini, baiki tandas tidak hanya untuk sekolah kebangsaan. Sekolah jenis kebangsaanTamil pun boleh, (maknanya) semua sekolah. Jadi, perdana menteri bekerja bagi memastikan sistem negara ini diasaskan atas dasar keadilan.

Dalam hubungan antarabangsa terutama Palestin, dunia antarabangsa memandang tinggi keberanian Anwar bersuara. Sebaliknya, pemimpin pembangkang masih mempertikai kewibawaan perdana menteri.

Dalam kita hendak jadi terpaling Palestin atau tidak, bahan bekalan perubatan kita sudahpun sampai ke Gaza. Telah ada dalam gudang Kementerian Kesihatan di Gaza. Jadi dalam isu Palestin, yang perlu dikurangkan adalah permainan politik.

Sebab itu, perdana menteri sebut dalam Parlimen dengan tegas, “kita jangan buat mahligai atas pusara”. Ini isu kemanusiaan dan dekat dengan rakyat dan jiwa manusia tidak kira agama. Ada juga orang Kristian yang mati, petugas paling ramai meninggal dunia di Gaza.

Saya fikir kawan-kawan pembangkang, hentikanlah. Jangan mainkan isu ini sebagai hendak jadi terpaling Palestin. Masing-masing punya ruang, Tan Sri Abdul Hadi Awang merupakan bekas duta Timur Tengah, mainkan peranan. Jadi, masing-masing mainkan peranan. Yang dilakukan perdana menteri sesuai dengan kapasiti beliau.

Perdana menteri hadir ke Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) walaupun ada yang minta di Parlimen supaya jangan hadir sebagai tanda protes. Beliau hadir, itu peluang untuk menyatakan pendirian tegas di hadapan pemimpin dunia dalam keadaan Hospital Al-Shifa di Palestin dibom dan sebagainya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyertai sesi Dialog bersama pemimpin sempena mesyuarat Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) yang berlangsung di Moscone Centre, San Francisco pada 16 November 2023. Foto SADIQ ASYRAF/Pejabat Perdana Menteri

Yang dilakukan perdana menteri sesuai nurani beliau yang bercakap tentang keadilan, mempamer kemanusiaan. Itu yang beliau tunjukkan ketika dunia berdepan dengan krisis serius, krisis kemanusiaan, pembunuhan kanak-kanak dan wanita di Palestin.

Jadi, sempena setahun Anwar menjadi perdana menteri, kepada pembangkang hentikan permainan politik isu Palestin, buat kerja anda, buat usaha berterusan. Kami pada peringkat kerajaan tentu sambut apa jua ikhtiar secara bersama untuk meringankan beban (warga) Palestin.

Pendirian tegas perdana menteri termasuk di Apec dalam isu Palestin, termasuk sokongan kepada Hamas, berlaku ketika banyak pelaburan luar masuk ke Malaysia. Tidakkah itu boleh menjejaskan usaha dagang?

Ramai berpendapat sebegitu dan menyatakan kalau kita tegas mungkin negara-negara ini akan tarik pelaburan tetapi perlu diingat, kalau kita lihat di negara-negara maju sekarang, majoriti rakyat bersama Palestin. Sebahagian pimpinan utama dunia terutama yang mewakili negara maju, pimpinannya mungkin tidak (sokong Palestin) tetapi (sokongan) rakyatnya sangat luar biasa. Mereka melakukan demonstrasi dan sebagainya. Suasana seperti ini tidak seperti yang mereka jangka daripada rakyat biasa.

Dalam soal ini, kita bercakap sama ada mereka akan tarik pelaburan, saya fikir mereka juga bimbang sebab sebahagian besarnya telah lama bertapak. Jadi, kalau mereka tarik pelaburan secara begitu, kerugian bukan sedikit. Mereka juga berdepan pekerja yang telahpun mendapat nikmat daripada pelaburan itu termasuk maklum balas rakyat mereka sendiri yang kita lihat sudah jutaan yang menyatakan bantahan (kepada rejim Israel) dalam isu Palestin.

Sebab itulah perdana menteri mengambil sikap walaupun berdepan negara seperti Amerika Syarikat. (Selain) persidangan Apec, beliau baru-baru ini ke Riyadh, Arab Saudi dan China dan selepas ini ke Jepun. Jaringan dalam kalangan ketua-ketua negara itu berjalan. Rangkaian itu berjalan. ‘Engagement’ (hubungan dua hala) itu berjalan. Maka dari segi itu, pastinya tidak akan lari dari aspek ekonomi dan pelaburan.

Perang dagang antara kuasa besar seperti  China dengan Amerika Syarikat dan Eropah. Adakah ia menjejaskan peluang pelaburan?

Kita tahu ada perang dingin (perdagangan) antara China dan Amerika Syarikat tetapi kepentingan Malaysia wajar dijaga dengan baik oleh perdana menteri. Sebab itulah beliau sering ke sana. Pada masa sama, beliau tidak memutuskan (hubungan) dengan negara kuasa besar seperti Amerika Syarikat.

Wawancara Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin di pejabat beliau di Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya pada 20 November 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Buktinya dalam persidangan Asean baru-baru ini, Naib Presiden Amerika Syarikat Kamala Harris meminta supaya disediakan tempat bersebelahan perdana menteri untuk mereka terus melanjutkan perbincangan dan sebagainya.

Jadi dari segi imej dan keyakinan pimpinan luar kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sangat tinggi. Sebab itulah mereka sangat faham, kita sebagai negara, harus menjaga kepentingan kita. Dari segi persahabatan, kita ada hubungan baik dengan Amerika Syarikat.

Dahulu, perdana menteri dilabel dekat dengan barat, yang sangat disukai negara-negara Barat. Perdana menteri memanfaat (kelebihan) itu untuk menyatakan apa yang kita rasa betul dan adil dalam isu sekarang ini.

Dalam setahun pertadbiran, asas reformasi telah diterap dalam kerajaan, bagaimana dan apakah yang akan dilakukan seterusnya? Apa natijahnya jika pembangkang makin bebas bersuara? Adakah ia menjejaskan kerajaan?

Yang dilakukan sekarang ini, tentulah daripada perjuangan reformasi yang panjang, sebagaimana yang perdana menteri lalui dan alami. Sebab itulah kita lihat ada kumpulan yang mengkritik, yang menyerang peribadi dan sebagainya, (hal) itu, walaupun di luar batas, kita sebagai warganegara yang yakin kepada Rukun Negara, jarang sekali kita dengar ada tindakan diambil (kerajaan).

Cuma apabila beberapa kumpulan yang melakukan serangan terhadap Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja, itu menyukarkan kita sendiri. Sebab institusi raja bukan institusi politik. Jadi, kenapa dibabit, diheret dalam permainan politik. (Jadi, kerajaan) kena sentuhlah.

Dalam hal ini, Raja-Raja berasa mesti ada tindakan tegas daripada kerajaan.  Sebab itu, Akta Hasutan digunakan oleh kerajaan. Sejak saya jadi (ahli parlimen) pembangkang, kita fikir tidak perlu digunakan tetapi apakah lagi undang-undang yang boleh digunakan untuk menangani isu-isu yang boleh menjejaskan institusi diraja.

Ada banyak lagi perkara yang perlu kita lakukan dari segi reformasi. Bukan semua perkara kita boleh selesai dalam tempoh setahun. Misalnya pemerkasaan Parlimen. Parlimen harus dilakukan reformasi supaya betul-betul matang dan betul-betul menjadi kumpulan mewakili tiga paksi iaitu eksekutif, kehakiman dan Parlimen.

Jadi, inilah masa terbaik untuk memperkasa Parlimen. Di Eropah, ahli parlimen dibenarkan ada penyelidik. Oleh sebab pembangkang sekarang kelihatan lemah, inilah masa terbaik untuk membantu mereka.
Perbahasan usul Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat pada 12 September 2023. Foto BERNAMA

Saya setuju supaya ahli parlimen dibantu kerana separuh daripada mereka pertama kali masuk ke Dewan Rakyat. Dewan ini bukan macam kedai kopi. Kita kena ada kesiapsiagaan untuk membangkitkan isu yang mewakili rakyat. Sebab itu, dalam masa depan, aspek itu akan diperkasa.

Selain itu, tumpuan kita dari sudut ekonomi, ia berkembang. Sudah tentu ada pembaharuan yang akan dibuat. Beberapa dasar yang diumumkan  perdana  menteri termasuk dasar tenaga baharu dan sebagainya. Ini antara perkara yang kita boleh jangka pada masa depan akan berlaku perubahan. Mungkin ada fokus untuk pemerkasaan dalam aspek politik, dari segi kebebasan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) dan sebagainya.

Banyak lagi perkara yang harus kita lakukan. Perdana menteri sendiri akui. (Namun), dalam keadaan selepas pilihan raya umum (PRU) lepas, rakyat tidak memilih mana-mana parti untuk menjadi kerajaan, (soal ini) harus diselesaikan dahulu. Keutuhan dan kestabilan politik (penting). Apabila kestabilan politik ada, ada kerjasama baik,  barulah kita masuk kepada fasa membangun ekonomi. Dan selepas ekonomi mula menampakkan hasil, barulah kita bercakap soal lain,  ‘reform’ yang lain-lain. Jadi, ada tahap-tahapnya.

Pembangkang tuduh kerajaan sekat kebebasan bersuara. Apa komen Datuk Seri?

Cuba lihat dari aspek mana yang disekat? Serangan peribadi. Serangan terhadap institusi raja. Serangan yang boleh meningkatkan rasa kebencian terhadap sesuatu kaum. Saya hendak tanya, adakah ia sihat untuk negara? (Shamsul menjelaskan contoh tekanan kepada anaknya di sekolah).

Sayapun terkejut kenapa sampai begitu? ‘Sebab ayah kawan dengan orang DAP’.  Saya rasa ini keterlaluan. Ini bukan politik yang kita dambakan. Saya di rumah sekalipun tidak bercerita soal politik. Bila berlaku sebegini, saya terpaksa jelaskan politik itu apa, DAP itu apa supaya dia faham keseluruhannya.

Pada saya, anak-anak ini, biarlah dapat pendedahan baik di sekolah tentang negara, apa itu Rukun Negara, apa maksud hubungan kaum? Pada saya, ia satu pendidikan yang sihat. Jadi, apabila (tindakan) dikenakan, atas sebab serangan tadi (isu perkauman), maka apakah wajar kita sebagai kerajaan berdiam diri dan tidak ambil tindakan?

Untuk perbandingan, kalau kita lihat dahulu, sewaktu Datuk Seri Anwar Ibrahim memimpin pembangkang, tidak pernah sekalipun kita main isu Melayu bergaduh dengan Cina (atau) Cina anti-India. Tidak ada. Yang kita bawa kritikan terhadap pengurusan negara, pengurusan ekonomi, gejala rasuah. Jadi, cukup-cukuplah bermain isu yang menyakitkan rakyat dan negara.

Seperti ucapan kebencian…

Ya, ‘hate speech’. Kalau tidak suka kerajaan, bangkitkanlah isu-isu fundamental dalam negara. Kebocoran misalnya, rasuah, penyelewengan. Tidak perlu main sentimen (kaum). Negara kita pernah saksikan krisis perkauman pada 1969. Jadi, kita tidak mahu perkara seperti itu berlaku lagi pada zaman moden ini.

Wawancara Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin di pejabat beliau di Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya pada 20 November 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Selepas perjuangan panjang kemudian menubuhkan kerajaan, ada penentang menganggap Reformasi sudah mati. Pada masa sama, kerajaan dianggap liberal dan terlalu terbuka. Bagaimana perkara ini hendak ditanggapi?

Apabila kita ambil alih dan diberi peluang menjadi kerajaan, kita harus belajar daripada negara-negara yang berlaku perubahan tetapi gagal. Kita ambil negara Mesir, berlaku perubahan tidak tidak sampai sempurna. Berlaku kebangkitan di Tunisia, sahabat kita Rached Ghannouchi di penjara sekarang. Perubahan berlaku tetapi tidak kesampaian.

Kenapa? Sebab demokrasi itu, perubahan politik mestilah dilihat ‘sampai’ kepada rakyat. Sebab itulah apabila perdana menteri mengambil alih tampuk pentadbiran, beliau memahami (Parti) Keadilan (Rakyat) hanya ada 30 ahli parlimen. Kita adalah kumpulan minoriti. Justeru, jangan kita rasa hebat sangat, kita bergabung dalam Pakatan Harapan dan Kerajaan Perpaduan.

Jadi, kita mesti bekerja dan berunding bersama-sama kerana masing-masing tidak ada yang dianggap  ‘majority the members of parliament’. Dalam konteks itu, perdana menteri melakukan perkara mengikut keutamaan.

Dalam ucapan perdana menteri di hujung pembentangan Belanjawan 2024, beliau ada menyebut kisah anak Khalifah Umar Abdul Aziz.

Ya… kenapa hendak dibuat segera? Apa dia fiqh awlawiyyat (fikah keutamaan) dalam bahasa Arab. Apakah keutamaannya. Ambil alih dahulu pertamanya, susun dari sudut politik. Apakah reformasi tidak penting? Penting. Reformasi yang kita sebut tadilah.

Tetapi apabila bercakap isu sekarang, tanpa menyelesaikan masalah kestabilan politik, maknanya kita naif. Kita diberi amanah untuk urus negara, yang berlaku pelbagai siri ketidakstabilan politik sebelum ini.

‘First rule of thumb’, stabilkan dahulu politik. Lepas stabil politik, ekonomi kita berdepan cabaran, maka harus diberi keutamaan kepada ekonomi. Selepas itu,  baru kita tengok apa lagi yang perlu dilakukan. Yang mana lagi yang perlu diperkasa dan sebagainya. Jadi, kita mesti ada keyakinan kepada perdana menteri.

Sebab itu ada lima tahun. Dalam lima tahun, masa untuk perdana menteri meletak keutamaan yang betul, menyusun semula negara dan meletakkan negara atas landasan baik. Kepada semua pasukan reformasi dan sebagainya, kita berharap mereka memberi keyakinan kepada perdana menteri.

Dahulu ramai yang tidak yakin perdana menteri akan menjadi perdana menteri. Macam macam kata-kata dilempar tetapi ada kumpulan yang yakin, bekerja ke arah itu, alhamdulillah Anwar menjadi perdana menteri.

Jangan ulangi kesilapan sama. Beri beliau masa, peluang dan bantu dengan padangan dan kritikan membina. Perdana menteri sangat terbuka untuk mendengar apa jua kritikan selagi ia tidak bersifat menghina, mengaib dan sebagainya


Pengarang :