Dari kiri, Aniza Mohamed Nawawi, Mashitah Ismail, Ariani Ahmad dan Noorzaimah Zainal Abidin melihat surat tawaran Biasiswa Wanita Berdaya Selangor (WBS) ketika ditemui di pejabat WBS, Shah Alam pada 20 Oktober 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

RM4 juta jayakan pelbagai program pembangunan wanita

SHAH ALAM, 11 NOV: Negeri menyediakan RM4 juta bagi menjalankan pelbagai program dan aktiviti demi memastikan kesejahteraan serta pembangunan wanita negeri ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pemberian dana kepada Wanita Berdaya Selangor (WBS) itu melalui Jawatankuasa Tetap Pembangunan Wanita dan Keluarga.

“Kerajaan Negeri mengakui golongan wanita antara pihak paling terkesan akibat tekanan ekonomi global merangkumi aspek sosial, ekonomi dan kesihatan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2024 semalam.

Amirudin menambah sebanyak RM50,000 diperuntuk bagi meneruskan Talian Khas Keganasan Rumahtangga (Talian SELamat) yang turut dikendali WBS susulan peningkatan kes terbabit
pascapandemik.

Ketua Pegawai Eksekutif Wanita Berdaya Selangor (WBS), Siti Kamariah Ahmad Subki memegang plakad ‘Hentikan Keganasan Terhadap Wanita’ sempena pelancaran talian khas SELamat
di Perbadanan Perpustakan Awam Selangor (PPAS), Shah Alam pada 22 November 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Beliau turut memaklumkan peruntukan RM100,000 bagi meneruskan pemberian Geran Rumah Perlindungan Wanita bertujuan membantu melengkapkan ekosistem perlindungan kepada mangsa kes
keganasan rumah tangga.

Sementara itu, Amirudin berkata program Pembelajaran Sepanjang Hayat atau Biasiswa WBS kepada wanita terpilih menyambung pelajaran peringkat diploma hingga doktor falsafah dalam pelbagai bidang
akan diteruskan.

Katanya, biasiswa itu menyasar wanita pelbagai peringkat kepimpinan organisasi dan lapangan dengan 24 penerima fasa pertama dan kedua sedang melanjutkan pelajaran di Universiti Terbuka Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia serta Universiti Teknologi Malaysia.

Beliau juga memberitahu projek Pengarusperdanaan Gender yang dijalankan WBS akan ditambah baik dan diperluas ke seluruh 12 pihak berkuasa tempatan tahun depan.

Dalam pada itu, Amirudin berkata peruntukan RM1 juta disediakan bagi membangunkan Dasar Ekonomi Penjagaan Negeri Selangor dengan mengambil kira isu multi-dimensi dan golongan sasar pelbagai.

“Isu dihadapi ialah pekerja sektor penjagaan tidak berbayar yang lazimnya dilakukan wanita selain kerja penjagaan kurang upah sektor perkhidmatan kesihatan, pusat penjagaan dan pendidikan kanakkanak serta pekerja sosial di pusat penjagaan warga emas dan orang kelainan upaya,” katanya.


Pengarang :