Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menyampaikan bantuan kemanusiaan sebanyak RM4.374 juta kepada Tabung Musaadah Palestin Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam pada 24 November 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Sultan serah lebih RM4 juta sumbangan rakyat kepada Palestin

SHAH ALAM, 24 NOV: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor berkenan menyerahkan bantuan kemanusiaan sebanyak RM4.374 juta kepada Tabung Musaadah Palestin Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Sumbangan daripada surau dan masjid sekitar negeri diserahkan Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj kepada Ketua Pengarah Jakim Datuk Hakimah Mohd Yusof di Istana Bukit Kayangan, di sini hari ini.

Baginda bertitah sumbangan yang diselaras dengan Tabung Infak Jariah Umat Islam Selangor mulai 13 Oktober bagi memastikan dana dikelola secara tersusun, bertanggungjawab, telus dan lancar.

“Penyelarasan ini turut menjamin setiap infak umat Islam sampai terus kepada rakyat Palestin tanpa sebarang ketirisan dan mengelak berlaku penyaluran dana kepada pihak tidak berwibawa.

Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan berangkat ke majlis pelancaran laman web Jais dan sumbangan dana Palestin di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam pada 24 November 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Beta mendoakan agar Allah SWT memberi ganjaran amal soleh atas infak yang disumbangkan untuk membantu umat Islam di Palestin,” titah Baginda menerusi kenyataan selepas majlis berkenaan.

Penyerahan disaksikan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah bersama Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Dato’ Shahzihan Ahmad dan EXCO Agama Islam Dr Fahmi Ngah.

Sultan Sharafuddin turut mendoakan Allah SWT melindungi kemuliaan Masjid Al-Aqsa agar umat Islam dapat mendirikan solat dan membuat amal ibadat secara aman.

“Beta juga berdoa semoga Allah SWT memberi kemenangan kepada pejuang rakyat Palestin untuk menghapuskan kezaliman zionis Israel dan hak mereka dikembalikan serta dapat menjadikan Palestin bebas, merdeka dan berdaulat,” titah baginda.

Pada Oktober, Jais menubuhkan tabung kemanusian Palestin bagi menyelaras kutipan dana, sekali gus memastikan tiada pihak membuat alasan kutipan demi manfaat, kepentingan dan pembangunan Islam.


Pengarang :