BERITA UTAMAPBTSELANGOR

Isu tapak sampah haram, negeri berhak ambil alih atau ke mahkamah

KLANG, 18 DIS: Isu membabitkan 12 lot tanah persendirian yang dijadikan tapak pelupusan sampah haram di Batu 14, Kapar di sini diserahkan kepada Kerajaan Negeri untuk tindakan lanjut.

Setiausaha Majlis Perbandaran Klang berkata pentadbiran negeri berhak mengambil alih atau membawa isu berkenaan ke mahkamah berikutan pemilik gagal memulihkan tanah dalam tempoh ditetapkan.

Menurut Zaireezal Ahmad Zainuddin, pemilik melanggar tempoh sebulan yang diberikan untuk membuat pembersihan selepas notis dikeluarkan pada Mei mengikut Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171).

Beliau berkata pemilik tanah berkenaan turut mendakwa tidak mampu untuk melaksanakan arahan terbabit berikutan kos tinggi dianggar mencecah RM1 juta termasuk tanggungan logistik.

“Semakan mendapati sebanyak 12 lot terlibat, namun pihak Majlis hanya menjumpai empat pemilik sahaja dan mengeluarkan notis untuk memulihkan tanah tersebut dalam tempoh sebulan.

“Bagaimanapun, tempoh berkenaan sudah tamat dan (dalam hal ini) pihak Majlis tidak bersihkan (tanah) kerana ia tanah persendirian, sebaliknya pemilik yang kena berbuat demikian.

“Pemilik gagal bersihkan dan Kerajaan Negeri perlu buat keputusan sama ada mengambil tindakan mahkamah atau ambil alih tanah tersebut. (Perkara itu) dalam perbincangan,” katanya semalam.

Dalam pada itu, Zaireezal berkata pihaknya membersihkan sebahagian kecil sampah pukal dari kawasan berkenaan bagi mengelak gangguan kepada penduduk termasuk memadam kebakaran di tapak sebelum ini.

Pada 8 Disember, Dato’ Menteri Besar menjelaskan pentadbiran negeri tidak boleh terus mengambil alih tanah yang dijadikan tapak pelupusan sampah haram di Batu 14, Kapar, Klang.

Sebaliknya, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata tempoh tertentu perlu diberikan kepada pemilik untuk memulihkan tanah sebelum tindakan lanjut diambil.

Sebelum ini, seramai 100 penduduk membuat bantahan aman dan menyerahkan memorandum berhubung isu pencemaran bau yang berpunca daripada tapak pelupusan sisa domestik seluas 1.2 hektar.

Masalah pembakaran sisa itu dihadapi penduduk di tujuh kampung antaranya Kampung Sungai Serdang, Kampung Batu 12, Kampung Tok Muda, Kampung Bukit Kerayong dan Bukit Kapar.


Pengarang :