SHAH ALAM, 23 DIS: Majlis munajat, zikir dan berselawat akan diteruskan tahun ini bagi menggantikan sambutan ambang tahun baharu, kata Dato’ Menteri Besar.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sejak tahun lalu Kerajaan Negeri menggantikan sambutan ambang tahun baharu dengan majlis munajat dan zikir.
“Tahun ini Insya-Allah kita akan bersama-sama di Majlis Darul Ehsan Berselawat bagi terus menghidupkan amalan selawat, zikir dan munajat. Semoga diberkati dan dirahmati Allah SWT,” kata beliau menerusi Facebook.
Sebelum ini Pengarah program Darul Ehsan Berselawat Daing Muhammad Reduan berkata kemuncak sambutan ambang tahun baharu 2024 bakal dimeriahkan dengan program Darul Ehsan Berselawat di Dataran Karnival, pekarangan Stadium Shah Alam pada 31 Disember.
Sambutan berkonsep keagamaan turut diserikan dengan program Doa Untuk Palestin yang menampilkan beberapa artis sehari sebelumnya.
Antara tokoh yang bakal ditampilkan termasuk Habib Jindan Novel, Habib Ali Zainal Abiin Assegaf dan Habib Nael Ben Taher.
Pengunjung turut diingatkan untuk membawa sejadah dan tikar serta memakai pelitup muka.