BUDAYARENCANA

Hijran Mahjura

Kutanyakan kepada arang:
“Bila mahu membakar diri
—meretak wajah menjadi bara?”
Katanya: “Nanti, kutunggu datang api pemula.”

Kutanyakan kepada bara:
“Bila terbang jadi kunang-kunang;
—meriak marak recik api?”
Katanya: “Nanti, kutunggu angin bawa berita.”

Kutanyakan kepada api:
“Bila mahu menanda nyala,
—membawa terang pada gelita?”
Katanya: “Nanti, aku belum lagi berani.”

Sementara tangguh berganti-ganti
kita luruh menjadi abu
bergentayangan dan bertanya:
“Bila mahu hidup lagi?”

 

Muhaimin Subki

 

 


Pengarang :