Exco Pertanian Ir Izham Hashim (kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi menuai jagung yang sudah masak ketika Majlis Penuaian Jagung Bijirin Komersial PKPS di Kuala Langat Selatan pada 21 Januari 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Jagung bijirin dapat sambutan, PKPS tawar harga murah banding import

SHAH ALAM, 24 JAN: Jagung bijirin yang diusahakan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) sejak tahun lalu mendapat permintaan tinggi daripada penternak kecil dan pemain industri.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi menjelaskan sambutan luar biasa itu berikutan harga jualan yang dikenakan lebih murah berbanding bijirin import.

“Berita mengenai tuaian pertama ladang jagung bijirin tersebar luas. Ramai penternak dan pemain industri makanan ternakan terutama sekitar Selangor menghubungi PKPS untuk membelinya.

“Memandangkan kos penghasilan per ekar lebih rendah, PKPS beri jaminan harga jualan ditawarkan lebih murah antara RM100 hingga RM250 per tan berbanding jagung import,” katanya ketika dihubungi.

Mohamad Khairil berkata baki penanaman juga akan dipercepat di ladang 258 ekar di Kuala Langat, selain bakal mengusahakan satu lagi ladang seluas 100 ekar di Rawang bagi memenuhi permintaan industri.

Jelasnya, projek dengan kerjasama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah melibatkan kos RM4 juta bagi kawasan Kuala Langat dan tambahan RM8 juta untuk penanaman di Rawang.

Pada Ahad, PKPS menuai 118 tan hasil pertama jagung bijirin berkualiti tinggi yang ditanam sejak tahun lalu melibatkan kawasan seluas 16.9 hektar daripada keseluruhan keluasan ladang 121 hektar.

Projek julung kali Kerajaan Selangor itu bertujuan mengurangkan kebergantungan kepada import makanan ayam, sekali gus mengurangkan atau menstabilkan harga ayam di negeri ini.


Pengarang :