Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari merasmikan program Iltizam Selangor sempena Jelajah Selangor Penyayang di Padang Awam Batu Caves, Gombak pada 2 Julai 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Lebih 25,000 mohon skim tabungan, terbuka untuk anak lahir 2022, 2023

SHAH ALAM, 17 JAN: Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas) menerima sebanyak 25,266 permohonan Iltizam Anak Selangor (ANAS) sejak program itu diperkenalkan pada 2022.

Penolong pengurus komunikasi korporatnya berkata daripada jumlah itu hanya 19,762 permohonan diluluskan manakala 4,508 lagi gagal atas pelbagai sebab.

Menurut Sharizan Mohd Shariff sebanyak 10,238 baki kuota permohonan masih kosong dan terbuka kepada ibu bapa yang mempunyai anak yang lahir 2022 dan 2023.

“Setakat ini kita masih ada lagi baki kekosongan kuota kerana Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan untuk 30,000 bayi yang lahir di Selangor.

“Saya mempelawa ibu bapa yang berkelayakan untuk menghantar permohonan lengkap dan selepas itu pihak kami akan membuat pertimbangan sewajarnya,” katanya ketika dihubungi.

ANAS diperkenalkan pada 2022 bawah jenama Iltizam Selangor Penyayang, menyediakan manfaat tabungan RM100 setahun sehingga penerima berumur lima tahun.

Inisiatif menyasarkan 30,000 bayi itu memasukkan terus nilai sumbangan ke dalam akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) Prime bagi membantu persediaan pendidikan.

Permohonan boleh dibuat secara dalam talian di anas.yawas.com.my sejak 1 Ogos 2022 dan akan ditutup sebaik sahaja permohonan mencapai sasaran.


Pengarang :