Mahkamah Telok Datok, Kuala Langat. Foto Facebook MPKL
AGENDAJENAYAH

Pemilik premis farmasi didenda berniaga tanpa lesen

SHAH ALAM, 17 JAN: Seorang pemilik premis farmasi dihadapkan ke Mahkamah Majistret Telok Datuk, Kuala Langat, hari ini kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen.

Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) memaklumkan tertuduh didakwa mengikut Undang Undang Kecil 3, Undang-undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan Dan Perindustrian (Majlis Daerah Kuala Langat) 2007.

“Orang Kena Saman (OKS) telah hadir ke mahkamah dan membuat pengakuan bersalah atas kesalahan tersebut serta disabitkan hukuman denda oleh mahkamah,” katanya menerusi Facebook.

Menurut MPKL, Majistret Khairul Farhi Yusob kemudiannya menjatuhkan hukuman denda RM1,200 atau dua bulan penjara jika gagal bayar denda tersebut.

Tambahnya, OKS telah menjelaskan denda mahkamah selain turut menyelesaikan tunggakan kompaun berjumlah RM2,000 di Unit Perundangan MPKL.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kanan MPKL Hasrizal Abd Rahim dan Pegawai Pendakwa Ahmad Razali Abd Manaf.

“MPKL menasihatkan syarikat atau individu yang menjalankan aktiviti perniagaan mendapatkan lesen perniagaan yang sah daripada MPKL supaya tidak dikenakan tindakan undang-undang,” katanya.


Pengarang :