Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) merasmikan Majlis Peluncuran Artifical Intelligence (AI) Untuk Rakyat di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 16 Januari 2024. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Portal pembelajaran kendiri percuma tingkat fahaman berkenaan AI

SERDANG, 16 JAN: Kerajaan persekutuan hari ini meluncurkan portal pembelajaran kendiri dalam talian secara percuma bagi mendekatkan jurang literasi digital kepada masyarakat.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata portal dikenali sebagai kecerdasan buatan (AI) Untuk Rakyat disediakan dalam empat bahasa iaitu bahasa Malaysia, Inggeris, Mandarin dan Tamil.

“Bagi pelajar, program ini dapat memberikan gambaran asas tentang dunia AI yang bertujuan menarik minat mereka untuk menceburi dan seterusnya membina kerjaya dalam sektor ini.

“Bagi masyarakat, program ini dapat memberikan fahaman asas tentang AI. Teknologi ini boleh membawa manfaat besar kepada kita sebagai individu, masyarakat dan seterusnya negara,” katanya.

Beliau berucap demikian ketika memperkenalkan program berkenaan di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini, yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berucap ketika Sesi Libat Urus Kajian Separuh Penggal RMK-12 di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shah Alam pada 1 Jun 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Rafizi menambah teknologi AI berpotensi membuka kapasiti produktif bernilai USD113.4 bilion, bersamaan satu perempat daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara pada 2022.

Berikutan itu, beliau menyasarkan sekurang-kurangnya sejuta rakyat akan memanfaatkan portal tersebut dalam tempoh tiga tahun akan datang, sekali gus membina ekonomi digital lebih baik.

“Dengan memanfaatkan peluang ini, kita mampu membina ekonomi digital yang kalis masa hadapan dan membolehkan Malaysia menjana nilai lebih tinggi di persada dunia,” katanya.

Program berkenaan menyediakan dua modul iaitu AI Aware dan AI Appreciate dan dilengkapkan mengikut tahap kelajuan masing-masing selain boleh dihabiskan dalam tempoh empat jam secara terus.

Portal AI Untuk Rakyat boleh dicapai menerusi pautan www.ai.gov.my.


Pengarang :