Ahli Dewan Negeri Dusun Tua Datuk Johan Abdul Aziz berbual bersama pengunjung Jualan Ehsan Rahmah (JER) DUN Dusun Tua di Taman Wangsa, Cheras pada 24 Disember 2023. Foto NAS NORZIELA NASBAH/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Ringan beban sambut perayaan, 400 keluarga DUN Dusun Tua terima baucar beli-belah

SHAH ALAM, 26 JAN: Seramai 400 keluarga berpendapatan rendah di DUN Dusun Tua yang menyambut Tahun Baharu Cina bulan depan bakal menerima baucar beli-belah RM200.

Wakil rakyat Datuk Johan Abdul Aziz berkata penyerahan bantuan Skim Jom Shopping Perayaan itu diharapkan meringkankan perbelanjaan menyediakan kelengkapan raya.

“Baucar ini akan diberikan pada minggu depan. Kita sedang mengenal pasti mereka yang benar-benar layak bagi memastikan bantuan ini diberikan kepada individu yang sepatutnya.

“Kita berharap bantuan ini memeriahkan sambutan Tahun Baharu Cina mereka. Kerajaan Negeri sentiasa berusaha membantu rakyat,” katanya kepada Selangorkini.

Sementara itu Johan berkata hampir 400 murid darjah satu yang berdaftar dengan Tabung Warisan Anak Selangor (Tawas) akan menerima bantuan masuk sekolah.

“Mereka akan terima beg sekolah, kelengkapan alat tulis, bekas makanan dan tabung. Semoga bantuan ini meringankan beban ibu bapa selain memberi keceriaan kepada kanak-kanak ini untuk memasuki darjah satu,” katanya.

Dilancarkan pada 2008, Tawas terbuka kepada anak kelahiran Selangor yang memenuhi syarat dan perlu didaftar sebelum anak berusia tiga tahun. Ahli menerima RM1,500 apabila berusia 18 tahun.

Tahun ini, seramai 36,326 ahli Tawas dari 56 DUN layak menerima bantuan PBMS berkenaan.

 

 


Pengarang :