Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj mempengerusikan mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) di Putrajaya pada 15 Februari 2024. Foto Facebook Selangor Royal Office
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kenyataan presiden PAS ‘tidak pelihara adab dengan Raja Melayu’

SHAH ALAM, 29 FEB: Kenyataan sinis presiden PAS berhubung sikap “Raja-raja perlu berwawasan kepada kehidupan akhirat dan tidak mengejar kepentingan dunia” disifatkan tidak bersesuaian dan tidak beradab.

Setiausaha sulit kepada Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor berkata kenyataan Tan Sri Abdul Hadi Awang itu bertentangan budaya Melayu yang sentiasa menghormati dan memelihara adab ketika menyuarakan pandangan kepada Raja-raja.

“Kenyataan YB Tan Sri Hadi yang telah dibuat secara terbuka di media sosial tersebut menggambarkan bahawa YB Tan Sri Hadi tidak membaca secara menyeluruh dan mendalam titah ucapan DYMM Sultan Selangor tersebut serta tidak memahami intipati titah ucapan Baginda khususnya berkaitan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Nik Elin yang mencabar keabsahan 16 peruntukan kesalahan jenayah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan 2019,” kata Dato’ Muhamad Munir Bani.

Ditulis bagi menjunjung titah perintah Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, surat beliau bertarikh 27 Februari yang ditujukan kepada Pesuruhjaya PAS Selangor Dato’ Dr Ab Halim Tamuri diterbitkan di Facebook Selangor Royal Office hari ini.

Muhamad Munir menjawab kenyataan Abdul Hadi di Facebook pada 20 Februari yang dipercayai mengulas titah ucapan Baginda ketika mempengerusikan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) pada 15 Februari.

Baginda mengulas keputusan Mahkamah Persekutuan pada 9 Februari yang membatalkan 16 daripada 18 peruntukan enakmen tersebut seperti petisyen yang dibawa peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid.

Menurut setiausaha sulit Baginda lagi, Sultan Selangor juga mendapati Abdul Hadi “cenderung menyangkal titah Raja-Raja Melayu” termasuk titah Sultan Terengganu pada Mac 2023 yang melarang ahli politik memberi kuliah di masjid.

“Kenyataan seumpama ini menggambarkan sikap tidak beradab dan tidak menghormati Raja-Raja Melayu sebagai ketua agama Islam di negeri-negeri yang mana Raja-Raja Melayu menetapkan sesuatu dasar demi perpaduan rakyat terutama umat Islam,” surat Muhamad Munir dipetik.

“Kenyataan YB Tan Sri Hadi boleh dianggap sebagai menghina kedudukan Raja-Raja Melayu sebagai ketua agama Islam negeri serta pemerintah utama negeri dan negara.”

Sultan Selangor sebagai pengerusi MKI menitahkan penyelesaian dicari bagi memastikan kemantapan Dewan Undangan Negeri menggubal undang-undang syariah agar tiada pertindihan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Baginda juga menyarankan agar kerajaan mempertingkatkan usaha ke arah memperkasakan bidang kuasa mahkamah syariah di setiap negeri. Selain itu, Baginda mencadangkan satu jawatankuasa khas meneliti persoalan tersebut.

Teks lengkap titah ucapan Baginda boleh dibaca di sini Sultan: Perkasa mahkamah syariah, elak agama jadi bahan politik


Pengarang :