Orang ramai mendaftar sistem Pangkalan Data Utama (Padu) ketika Hari Prihatin Rakyat Parlimen Gombak: Karnival Keusahawanan dan Kebudayaan di Dewan Orang Ramai Kampung Melayu Wira Damai, Gombak pada 28 Januari 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

400,000 daftar Padu sehari, 8.09 juta kemas kini data takat semalam

SHAH ALAM, 26 MAC: Kira-kira 400,000 individu sehari direkodkan mengemas kini data masing-masing dalam sistem Pangkalan Data Utama (Padu) menjelang tarikh akhir pengemaskinian iaitu 31 Mac.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata setakat semalam 8.09 juta individu mengemas kini data masing-masing iaitu 36.8 peratus daripada jumlah keseluruhan individu berumur 18 tahun ke atas di negara ini.

“Dengan tempoh berbaki enam hari, 350,000 hingga 400,000 individu kemas kini data. Kami unjurkan kita akan berjaya menghampiri kadar pendaftaran 50 peratus pada 31 Mac.

“Kerajaan membuka pelbagai kaunter dan melaksanakan insiatif khusus untuk kawasan pedalaman (bagi meningkatkan pendaftaran),” katanya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang ingin tahu mengenai mekanisme kerajaan untuk meningkatkan pendaftaran Padu.

Mengulas lanjut Rafizi berkata kerajaan memberi keutamaan tinggi terhadap perlindungan privasi data Padu dan kerjasama strategik pelbagai pihak dilaksanakan sebagai langkah pencegahan kebocoran data.

“Pasukan pembangunan sistem Padu diketuai Jabatan Digital Negara sentiasa bekerjasama rapat dengan pelbagai agensi yang menguruskan keselamatan siber dan privasi data negara.

“Ia adalah Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan (CGSO), Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), CyberSecurity Malaysia (CSM), Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP), Kementerian Komunikasi dan Kementerian Digital,” katanya.

Beliau menjelaskan sistem Padu dilindungi tiga komponen utama keselamatan iaitu keselamatan data, sistem dan rangkaian.

“Walaupun terdapat rekod terutama pada bulan pertama cubaan akses (ke dalam sistem) dengan lebih dua juta (cubaan akses) setiap hari, semua itu berjaya dipatahkan dan masih tidak berjaya tembusi (sistem),” katanya.

Padu yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2 Januari lalu menjadi platform tunggal maklumat individu dan isi rumah, sekali gus meningkat kecekapan pengagihan subsidi serta bantuan kepada rakyat yang layak.

Pendaftaran boleh dibuat melalui laman sesawang www.padu.gov.my bermula 2 Januari sehingga 31 Mac ini.


Pengarang :