Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bergambar bersama selepas melancarkan Dana Usahawan Madani Selangor (DUMS) di foyer bangunan pentadbiran Kerajaan Negeri, Shah Alam pada 4 Mac 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Dana Usahawan Madani Selangor tawar bantuan peralatan hingga RM30,000

SHAH ALAM, 4 MAC: Kerajaan Negeri hari ini melancarkan Dana Usahawan Madani Selangor (DUMS) bagi menyokong pembangunan usahawan mikro, kecil dan sederhana di Selangor.

Dato’ Menteri Besar berkata RM2 juta diperuntuk bagi menjayakan inisiatif yang dijenamakan semula daripada Dana Usahawan Mikro Selangor dan dijangka memberi manfaat kepada 145 usahawan.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan skop DUMS diperluas kepada bidang ekonomi kreatif melibatkan industri kreatif multimedia, seni budaya dan warisan budaya berbanding sebelum ini yang hanya tertumpu kepada sektor makanan dan minuman.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap sempena majlis pelancaran Dana Usahawan Madani Selangor (DUMS) di foyer pusat pentadbiran Kerajaan Negeri, Shah Alam pada 4 Mac 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Jika dulu (bantuan) lebih tertumpu kepada usahawan mikro bidang makanan, minuman atau jahitan, kini diperluas kepada ekonomi kreatif tahun ini. Contohnya ada usahawan (kecil) yang terlibat dalam bidang fotografi (termasuk dalam sektor yang diperluaskan).

“Bentuk bantuan yang ditawarkan adalah peralatan atau perkakasan kegunaan perniagaan yang dapat meningkatkan produktiviti produk atau perkhidmatan dengan had nilai bantuan sehingga RM30,000,” katanya selepas melancarkan DUMS di bangunan pentadbiran Kerajaan Negeri di sini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melakukan gimik pelancaran Dana Usahawan Madani Selangor (DUMS) di foyer pusat pentadbiran Kerajaan Negeri, Shah Alam pada 4 Mac 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Amirudin berkata sejumlah RM20.06 juta telah dibelanjakan Kerajaan Negeri bagi membantu 1,029 usahawan mikro sejak 2015 hingga tahun lalu.

“Di seluruh rantau Asia Tenggara juga sebanyak 97 peratus perniagaan merupakan mikro, kecil dan sederhana dan perniagaan jenis ini menyumbang sebanyak 40.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) seluruh Asia Tenggara,” katanya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melawat pameran perniagan sempena majlis pelancaran Dana Usahawan Madani Selangor (DUMS) di foyer bangunan pentadbiran Kerajaan Negeri, Shah Alam pada 4 Mac 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Antara syarat kelayakan termasuk pemohon rakyat Selangor atau bermastautin lebih daripada 10 tahun dan mengusahakan perusahaan kategori mikro, kecil atau sederhana.

Selain itu perusahaan merentasi semua sektor termasuk industri kreatif Pemohon boleh mendapatkan borang permohonan di Pejabat Daerah atau Tanah dengan dokumen sokongan lengkap.

 


Pengarang :