Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Institut Koperasi Malaysia (IKMa) Mohd Yahya Mat Sahri
AGENDANASIONAL

IKMa hasrat anjur jelajah, dapatkan maklum balas penggerak koperasi seluruh negara

SHAH ALAM, 4 MAC: Institut Koperasi Malaysia (IKMa) berhasrat menganjurkan Jelajah Koperasi Madani bagi mendapatkan maklum balas dari penggerak koperasi di seluruh negara.

Pengerusi ahli lembaga pengarahnya berkata inisiatif itu diambil susulan penganjuran Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB 2024) baru-baru ini.

“Penglibatan sektor koperasi yang memayungi usahawan sektor informal harus diambil kira dalam blueprint yang akan dirangka hasil resolusi KEB 2024.

“Sudah sampai masanya sektor koperasi mengkaji secara strategik apakah peluang dan ruang yang boleh digapai oleh koperator dari pelbagai pelan dan insentif yang diutarakan oleh Perdana Menteri ketika menutup KEB 2024,” kata Mohd Yahya Mat Sahri dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan beberapa inisiatif baharu bagi Agenda Baharu Pemerkasaan Bumiputera ketika berucap merasmikan majlis penutupan KEB 2024 di Putrajaya pada 2 Mac lalu.

“Iltizam Perdana Menteri dalam memperkasa ekonomi Bumiputera jelas terserlah dengan suntikan dana RM1 Billion untuk melahirkan generasi baharu usahawan bumiputera.

“Begitu juga dengan suntikan RM1 billion untuk dana mikro kredit serta RM100 juta untuk pembangunan usahawan vendor,” kata Mohd Yahya.

Beliau menambah, IKMa turut berharap Kementerian Pembangunan Usahawan & Koperasi (KUSKOP) dapat turut sama menjayakan transformasi ekonomi ini.

“Agensi-agensi bawah KUSKOP amat berpengalaman dalam menyuntik idea baru ke arah melahirkan usahawan tekno baru.

“Hasrat melahirkan 10,000 tenaga kerja melalui TVET akan menyuntik modal insan yang mahir dan kreatif sekali gus akan meningkatkan produktiviti negara dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi,” katanya lagi.


Pengarang :