Gelagat murid sekolah yang dirakam pada hari pertama sesi persekolahan 2023/2024 di Sekolah Kebangsaan Seberang Ramai, Perlis pada 20 Mac 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kadar cicir murid menurun, kerajaan agih 18 jenis bantuan sekolah

SHAH ALAM, 27 MAC: Kadar keciciran murid sekolah rendah dan menengah di negara ini menunjukkan trend penurunan dari 2017 hingga 2023.

Timbalan menteri pendidikan berkata kadar keciciran di peringkat sekolah rendah menurun daripada 0.29 peratus pada 2017 kepada 0.06 peratus pada 2023.

Jelas Wong Kah Woh, bagi peringkat sekolah menengah pula, kadar keciciran menurun daripada 1.36 peratus kepada 0.83 peratus dalam tempoh sama.

“Bagi sekolah rendah di bandar, kadar murid yang keluar daripada sekolah Kementerian Pendidikan (KPM) adalah 0.37 peratus, manakala bagi sekolah rendah di luar bandar adalah 0.1 peratus.

“Untuk peringkat menengah pula, kadar murid yang keluar daripada sekolah KPM adalah 3.13 peratus di bandar dan 4.67 peratus di luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu Roslan Hashim pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu, Kah Woh memaklumkan KPM mengagihkan 18 jenis bantuan persekolahan kepada murid pada tahun lalu.

“Ia terdiri daripada 13 jenis bantuan khusus dan lima jenis bantuan umum yang turut diagihkan kepada murid tercicir akibat kemiskinan.

“KPM juga melaksanakan Sekolah Model Khas Komprehensif 9 (K9) supaya semua murid dapat kekal bersekolah terutamanya murid di kawasan luar bandar dan pedalaman,” katanya.

“Sekolah model khas juga bagi mengurangkan kadar keciciran transisi murid dari tingkatan 3 ke tingkatan 4.

“Selain itu, KPM turut menubuhkan Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih pada 2013 dan beroperasi di Chow Kit, Kuala Lumpur untuk memastikan kanak-kanak jalanan dan terpinggir menerima akses pendidikan,” katanya.


Pengarang :