Orang ramai yang hadir ke kaunter sistem Pangkalan Data Utama (Padu) Selangor di Dewan Orang Ramai Kampung Sungai Buaya, Banting pada 29 Mac 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Kaunter fizikal daftar Padu bantu penduduk kurang mahir teknologi

KUALA LANGAT, 29 MAC: Penduduk negeri ini memanfaat kaunter fizikal sistem Pangkalan Data Utama (Padu) bagi mengemas kini maklumat peribadi sebelum tarikh akhir Ahad ni.

Pekerja swasta, 51, berkata kaunter fizikal membantu beliau dan isteri, Norazura Mohd Azami, 39, yang kurang mahir menggunakan teknologi maklumat khususnya pendaftaran secara dalam talian.

Jafri Suhari

“Hari ini saya datang dengan isteri untuk daftar Padu. Sebelum ini kami sudah cuba buat sendiri menggunakan telefon bimbit tetapi ada beberapa perkara yang saya tidak dapat lengkapkan.

“Mujur ada buka kaunter Padu di kawasan rumah. Jadi kami ambil kesempatan untuk datang sendiri dan lengkapkan pendaftaran kami. Mudah sahaja sebenarnya,” katanya.

Pengawal keselamatan, K Rajandran, 57, berkata beliau sudah lama mengetahui mengenai sistem Padu tetapi tidak sempat mendaftar berikutan kekangan masa.

“Saya datang kerana tidak tahu cara daftar. Saya tiada anak dan isteri yang boleh bantu. Saya harap sistem ini benar-benar dapat membantu rakyat yang memerlukan,” katanya.

K Rajandran

Mereka ditemui selepas mengemas kini data maklumat masing-masing di kaunter pendaftaran dan pengemaskinian Padu di Dewan Orang Ramai Kampung Sungai Buaya di sini hari ini.

Pada 20 Mac, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata usaha dipergiat bagi membantu penduduk mendaftar dan mengemas kini maklumat dalam sistem Padu.

Selain mengunjungi kaunter fizikal, pendaftaran boleh dibuat melalui laman sesawang http://www.padu.gov.my yang dianggar mengambil masa kurang 10 minit.

Padu yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2 Januari lalu menjadi platform tunggal untuk meningkat kecekapan pengagihan subsidi serta bantuan kepada rakyat yang layak.

 


Pengarang :