AGENDANASIONAL

Kerajaan Madani peruntuk RM6.1 juta baiki jalan, lampu isyarat di Kelantan

KOTA BHARU, 18 MAC: Kelantan mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan MADANI kerana meluluskan peruntukan sebanyak RM6.1 juta bagi memperbaiki dan menaik taraf jalan serta lampu isyarat di seluruh negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri Datuk Dr Izani Husin berkata peruntukan berkenaan diberi melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan.

Beliau berkata peruntukan di bawah Program Pemasangan Lampu Jalan Kawasan Kemalangan dan Berisiko Kemalangan Akibat Jalan Gelap itu meningkat beberapa kali ganda berbanding hanya lebih RM1 juta yang disalurkan tahun lepas.

“Terima kasih kerana meluluskan peruntukan yang jauh lebih besar tahun ini dan kami (kerajaan negeri) amat menghargainya.

“Peningkatan bajet ini menunjukkan kerajaan Persekutuan (Kerajaan MADANI) menjalankan tanggungjawab mereka dengan lebih baik sekali gus membolehkan JKR negeri melakukan kerja-kerja penyelenggaraan yang lebih menyeluruh di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung kerosakan jalan dan lampu isyarat di negeri ini selepas Majlis Perasmian Cabutan Kerja Undi JKR, Cawangan Kejuruteraan Elektrik Negeri Kelantan Bil 1/2024 di Dewan Bunga Teratai, Kompleks Darulnaim di sini hari ini.

Sementara itu Izani berkata sebanyak 40 daripada 143 kontraktor memenuhi syarat dalam cabutan undi berkenaan dan kesemua mereka akan dipantau oleh JKR.

“Kontraktor yang terpilih diharap dapat melakukan kerja-kerja penyelenggaraan dengan penuh integriti mengikut kontrak yang dipersetujui bersama.

“Kerajaan negeri menyasarkan semua projek bernilai antara RM50,000 hingga RM200,000 itu dapat disiapkan secara berperingkat hingga Julai depan,” katanya.

Menurutnya penyelenggaraan ini merupakan kerja-kerja peringkat pertama dan selepas ini akan dikenal pasti lagi jalan-jalan lain yang memerlukan penambahbaikan sebelum kita memohon bajet lain.

– BERNAMA


Pengarang :