Pengunjung menunjukkan cara mengimbas kod QR untuk mendapatkan baucar RM5 ketika Kempen PLATS Masuk Pasar (PMP) di Pasar pagi Sungai Buloh Jeram, Kuala Selangor pada 19 November 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMAPILIHAN MINGGUANSELANGOR

MBI peruntuk RM40,000 jayakan kempen PLATS Masuk Bazar di lapan lokasi

SHAH ALAM, 16 MAC: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI memperuntuk RM40,000 bagi menjayakan kempen Platform Selangor (PLATS) Masuk Bazar sepanjang Ramadan.

Ketua tanggungjawab sosial korporatnya berkata kupon Digital Rahmah bernilai RM10 diedar kepada orang ramai di lapan lokasi bazar terpilih.

“Bagi kempen PLATS Masuk Bazar kali ini kita bekerjasama dengan Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Majlis Bandaraya Shah Alam dan Majlis Perbandaran Kajang.

“Setiap lokasi bazar akan diedar 500 kupon digital bernilai RM10. Namun ada beberapa lokasi, orang ramai menerima kupon digital RM20 atas inisiatif pihak berkuasa tempatan,” kata Ahmad Azri Zainal Nor ketika dihubungi.

Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Zahri Samingon (tiga dari kanan) bersama Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Ahmad Azri Zainal Nor (dua dari kanan) menunjukkan kupon digital khas RM20 di bazar Ramadan Jalan SS 6/1, Kelana Jaya, pada 15 Mac 2024. Foto Facebook Majlis Bandaraya Petaling Jaya

Tambahnya, seramai 872 peniaga berdaftar bawah PLATS terlibat kempen PLATS Masuk Bazar yang bertujuan menggalakkan lagi agenda pendigitalan.

PLATS diperkenal pada Ramadan 2020 bagi melengkapkan ekosistem Agenda Pendigitalan Selangor menerusi platform digital susulan penularan wabak Covid-19.

Ia merupakan inisiatif Kerajaan Selangor bagi membantu golongan perusahaan kecil, mikro dan sederhana (PMKS) untuk mengadaptasi pendigitalan dalam perniagaan.

PLATS juga memperkenalkan inisiatif baharu iaitu program Latihan Pembangunan Usahawan Plats (U-PLATS) bagi membantu usahawan menguruskan perniagaan secara digital.

Bermula tahun lalu, PLATS memperkenal Kempen PLATS Masuk Pasar selama dua bulan di 12 lokasi terpilih seluruh negeri dengan mengedar sebanyak 20,000 Kupon Digital Rahmah bernilai RM5.

Inisiatif itu kemudiannya diperluas ke bazar Ramadan seluruh negeri bagi mendukung agenda pendigitalan.

Berikut lokasi bazar Ramadan terpilih:

  • Bazar Seksyen 14/27 (13 Mac)
  • Bazar Kelana Jaya SS6/1 (15 Mac)
  • Bazar CLC Semenyih (19 Mac)
  • Bazar Alam Impian (21 Mac)
  • Bazar Taman Medan (22 Mac)
  • Bazar Seksyen 17 Shah Alam (25 Mac)
  • Bazar Vista Damansara Damai (28 Mac)
  • Bazar Bandar Baru Bangi Seksyen 3 (30 Mac)

Pengarang :