Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika majlis berbuka puasa bersama komuniti pendidik Negeri Selangor di Dewan Raja Muda Musa, Shah Alam pada 17 Mac 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Pentadbiran negeri tekankan pendidikan demi pacu ekonomi

SHAH ALAM, 18 MAC: Sektor pendidikan antara keutamaan dan teras penting pentadbiran negeri dalam memacu pembangunan serta ekonomi, kata Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Ditekankan dalam setiap situasi, beliau menjelaskan agenda tersebut juga diterjemah menerusi Tawaran Kita Selangor: Lima Tekad Untuk Lima Tahun sempena pilihan raya negeri tahun lalu.

“Pembangunan ekonomi bukan hanya bergantung kepada tarik pelabur, jalankan aktiviti rancak tetapi turut bergantung dengan pendidikan kerana pelabur mahukan tenaga kerja.

“Berikutan itu, pendidikan teras penting dalam pentadbiran. Ia juga berkait dengan pembangunan sosial hingga keharmonian masyarakat dan membentuk anak-anak,” katanya.

Beliau berucap demikian pada majlis berbuka puasa bersama komuniti pendidik di Dewan Raja Muda Musa, Seksyen 7, di sini petang semalam.

Tahun ini, Selangor memperuntuk hampir RM100 juta bagi pembangunan pendidikan dan bantuan persediaan pelajar seperti Kumpulan Wang Biasiswa Negeri Selangor dan pinjaman boleh ubah.

Tawaran Kita Selangor yang dilancarkan pada 31 Julai 2023 turut merangkumi insentif pendidikan antaranya baucar Buku Kita Selangor RM200 dan latihan teknikal dan vokasional kepada 10,000 anak muda.

 


Pengarang :