Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengedar bubur lambuk dan mangkuk tingkat kepada pengunjung bazar menerusi Kempen Jom Bawa Bekas Makanan ke Bazar Ramadan ketika merasmikan program MBSA ‘MySave Food’ di Bazar Ramadan Seksyen 19, Shah Alam pada 20 Mac 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Program kumpul makanan di bazar diperluas semua PBT, agih golongan memerlukan

SHAH ALAM, 20 MAC: Program MySave Food@ Bazar Ramadan yang dirintis Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan diperluas ke semua pihak berkuasa tempatan (PBT), kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program mengumpul makanan di bazar Ramadan bagi membantu lebih ramai golongan memerlukan setakat ini turut diikuti Majlis Perbandaran Sepang dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya sejak semalam.

“MBSA mengumpul sebanyak 859.3 kilogram makanan dan minuman pada 2021, 2.2 tan (2022) dan 2.9 tan (2023). Pada tahun ini, setakat semalam sebanyak 1.6 tan dikumpul dari tiga bazar Stadium Shah Alam Seksyen 13, Seksyen 17 dan Seksyen 19.

“Saya telah meminta EXCO Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin supaya berhubung dengan semua PBT dan melaksanakan program ini menggunakan formula yang sama,” katanya selepas merasmikan program tersebut di Bazar Ramadan Seksyen 19 di sini, hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari beramah mesra bersama penjual ketika majlis perasmian Program MBSA ‘MySave Food’ di Bazar Ramadan Seksyen 19, Shah Alam pada 20 Mac 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Amirudin memberi jaminan makanan diberikan kepada golongan memerlukan itu selamat berikutan dihantar dalam tempoh dua jam.

“Makanan akan dikumpul pada jam 6.30 petang oleh sukarelawan di khemah disediakan sebelum dihantar kepada golongan memerlukan pada 8.30 malam.

“Makanan dihantar bukan sisa tetapi lebihan makanan yang tidak habis dijual peniaga. Makanan ini diberikan kepada wakil sebelum diagihkan kepada penerima,” katanya.

Program MySave Food@Ramadan Bazar dimulakan MBSA sejak empat tahun lalu dengan mengumpul lebihan makanan tidak habis dijual di bazar Ramadan untuk diagih kepada golongan memerlukan.

Pada tahun ini, program bermula 14 Mac sehingga 3 April depan setiap Isnin hingga Jumaat membabitkan tiga bazar Ramadan iaitu Stadium Shah Alam Seksyen 13, Seksyen 17 dan Seksyen 19.

Peniaga bazar di lokasi yang terlibat boleh menghantar lebihan makanan yang tidak habis dijual ke khemah MBSA MySave Food.

Pusat pengumpulan makanan MBSA ‘MySave Food’ di Bazar Ramadan Seksyen 19, Shah Alam pada 20 Mac 2024. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Pengarang :