Nurhasanah Ramlee bersama anak-anaknya dihadapan rumah yang diterima sumbangan Zakat Selangor di Kampung Kanchong Darat, Kuala Langat pada 16 Mac 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMABUDAYARENCANA

Sehelai sepinggang kendong anak, asnaf kini beraya rumah baharu

Syawal 2024 cukup manis buat Nurhasanah Ramlee kerana akan menyambut hari lebaran di rumah baharu didirikan atas tanah wakaf hasil bantuan Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Menyifatkan ia umpama mimpi, ibu tunggal berumur 42 tahun itu tidak pernah terfikir permohonan dalam 2019 untuk memiliki rumah mendapat perhatian LZS melalui sepucuk surat kelulusan pada 2023.

Awalnya Nurhasanah mahu berpindah selepas Hari Raya Aidilfitri, tetapi rumah itu disiapkan lebih awal membolehkan beliau menerima kunci pada 7 Mac, kira-kira seminggu sebelum Ramadan menjengah.

Tiga anaknya iaitu Azwin Nabeela Fazri Azwan berumur 18 tahun, kedua Alya Aleesya Fazri Azwan (15 tahun) dan yang bongsu Izzara Dania Fazri Azwan (12 tahun) juga meluahkan rasa gembira berpindah ke rumah baharu.

Buat pertama kali, mereka dapat tidur di bilik sendiri. Meskipun begitu, mereka sedikit sedih kerana harus berpindah sekolah dan berpisah dengan kawan-kawan.

Rumah tiga bilik berharga RM126,000 itu siap atas sebidang tanah wakaf di Kanchong Darat yang jaraknya kira-kira 45 minit dari rumah ibunya di Sijangkang, Kuala Langat.

“Saya bersyukur sangat. Rezeki anak-anak. Sebab benda ini bukan sekejap, proses hendak dapat kelulusan tu lima tahun,” katanya ketika ditemui Selangorkini pada 16 Mac.

Menjadi asnaf zakat sejak 2015, Nurhasanah berkata tanah lokasi rumahnya dibina diwakafkan seorang wanita tidak dikenali, sehingga mereka bertemu sewaktu majlis penyerahan rumah pada tarikh tersebut.

Menetap di Sijangkang sejak 11 tahun lalu selepas bercerai, usaha Nurhasanah mendapatkan rumah asnaf bermula pada 2019 apabila seorang amil di Kanchong Darat menolongnya menguruskan permohonan.

Amil itu menolongnya atas syor seorang imam di Sijangkang yang mengetahui keadaan keluarga Nurhasanah dan statusnya sebagai asnaf.

Nurhasanah mula hidup susah apabila bercerai dengan suami ketika berusia 31 tahun pada 2013, selepas lapan tahun berkahwin.

Nurhasanah Ramlee hiba ketika di temu bual Selangorkini di Kampung Kanchong Darat, Kuala Langat pada 16 Mac 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Sehelai sepinggang

Ketika itu, beliau terus pulang ke rumah ibunya di Sijangkang sehelai sepinggang dengan mengendong anak bongsunya yang berusia setahun bersama dua lagi anak dari Perak.

“Pada masa itu kita muda lagi. Anak sulung baru masuk darjah dua, anak kedua baru empat tahun dan anak bongsu satu tahun,” katanya.

Perceraian itu membuatkan dirinya tertekan sehingga enggan berjumpa dengan sesiapa dan hanya berurusan dengan keluarga.

Tidak lama selepas itu, beliau mendapat kerja kerani di sebuah syarikat swasta dengan gaji RM1,000 sebulan. Bapanya turut meringankan beban dengan membantu mengurus persekolahan anak.

Dua tahun kemudian, hidupnya sekali lagi diuji apabila bapanya yang menjadi tempat bergantung harap meninggal dunia.

Pemergian ayahnya menyebabkan kesihatan ibu merosot sehingga beliau terpaksa berhenti kerja bagi menjaga orang tua. Ibu Nurhasanah meninggal dunia akibat jangkitan Covid-19 pada 2021.

Bagi menampung hidup, membesarkan anak-anak dan menjaga ibu sakit pada masa itu, wanita berkenaan membuat dan menjual kuih.

Situasi kewangan Nurhasanah lega apabila mulai 2015, anak-anaknya mendapat bantuan sekolah berbentuk baju seragam dan peralatan sekolah, selain bantuan hari raya RM500 daripada lembaga itu.

Tiga tahun kemudian, Nurhasanah pula mula dibantu LZS selaku asnaf sebanyak RM500 setiap bulan. Bagaimanapun jumlah bantuan berubah kepada RM400 sebulan selepas rekodnya dikemas kini.

Mengakui jumlah berkenaan tidak mencukupi, beliau tetap bersyukur kerana masih dapat membantu perbelanjaan bulanan terutama keperluan anak-anak bersekolah.

Ditanya mengenai perancangan masa hadapan, Nurhasanah berkata beliau bercadang untuk mengembangkan perniagaan membuat dan menjual kuihnya.

Ketika ini, beliau memperoleh pendapatan kira-kira RM500 sebulan hasil jualan kuihnya. Selain itu, Nurhasanah juga menyimpan hasrat untuk menceburi perniagaan produk kecantikan.


Pengarang :