Tangkap layar video banjir kilat yang berlaku di Kampung Melayu Subang pada 16 April 2024.
AGENDANASIONAL

Hujan lebat berterusan sejam, Kampung Melayu Subang dilanda banjir kilat

SHAH ALAM, 16 APRIL: Hujan lebat berterusan dalam tempoh sejam sejak jam 4.30 petang tadi mengakibatkan banjir kilat di Kampung Melayu Subang.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Damansara Muhammad Izuan Ahmad Kasim berkata beberapa laluan utama di kawasan berkenaan terputus manakala kawasan kediaman dinaiki air susulan limpahan air Sungai Damansara.

“Beberapa tempat di kawasan Kota Damansara terutama di Kampung Melayu Subang, Subang Bestari, dan Kampung Baru Sungai Buloh banjir akibat kenaikan paras air Sungai Damansara ke tahap bahaya,” katanya di aplikasi X.

Sementara itu, Rapid KL menerusi laman X memaklumkan perkhidmatan bas tidak dapat beroperasi buat sementara waktu susulan banjir melanda kawasan Kem Paya Jaras.

“Semua hentian bas tidak dapat dilalui. Laluan yang terlibat adalah Laluan T112 & T102. Segala kesulitan amat dikesali,’’ katanya.

Rapid KL turut menjelaskan perkhidmatan di stesen Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya kini beroperasi dengan bilangan kekerapan yang terhad disebabkan kegagalan sistem bekalan kuasa yang disambar petir.

“Kekerapan tren pada petang ini adalah 4-5 minit. Pengguna diminta rancang perjalanan lebih awal,” ujarnya di Facebook.

Sementara itu, penolong pengarah operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor berkata pihaknya menggerakkan anggota berserta beberapa aset ke lokasi terlibat iaitu di Jalan Jati, Kampung Melayu Subang dan Kampung Kubu Gajah.

Jelas Ahmad Mukhlis Mokhtar, pemantauan di lokasi kejadian mendapati kawasan terbabit dinaiki air antara 0.3 meter (m) hingga 0.6 m dan keadaan adalah terkawal.

‘’Banjir berlaku akibat limpahan sungai berhampiran dan ketika ini paras air menunjukkan trend menurun. Keadaan adalah terkawal dan tiada pemindahan mangsa dilakukan bagi kedua-dua lokasi,” katanya menerusi kenyataan.

Tangkap layar video banjir kilat di Denai Alam pada 16 April 2024. Video Facebook Khidmat Malaysia

 


Pengarang :