Calon Kerajaan Perpaduan Pang Sock Tao (tiga, kiri) beramah mesra bersama orang ramai pada walkabout di sekitar Pasar Awam pekan Kuala Kubu Bharu pada 30 April 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

Kerajaan Perpaduan tekad kerja keras, teruskan legasi cemerlang mendiang

HULU SELANGOR, 30 APRIL: Kerajaan Perpaduan Selangor bertekad meneruskan legasi cemerlang yang ditinggalkan mendiang Lee Kee Hiong di Kuala Kubu Baharu.

Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) bagi dewan undangan negeri (DUN) itu berkata sebagai lokasi tumpuan pelancong, beliau akan menjadi penghubung antara rakyat dan kerajaan untuk menaik taraf prasarana.

“Kemudahan sedia ada akan ditambah baik memandangkan DUN Kuala Kubu Baharu adalah lokasi pelancongan yang secara tidak langsung akan memanfaatkan penduduk setempat.

“Saya akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dan Kerajaan Negeri. Saya mahu menjadi jambatan antara kerajaan dan rakyat di sini,” kata Pang Sock Tao ditemui pada sesi bertemu masyarakat di sekitar pasar awam di sini hari ini.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching berkata kemenangan mendiang dalam tiga pilihan raya berturut-turut bukan tiket untuk berasa selesa.

“Untuk pilihan raya kecil di sini, kita tidak meletakkan parti  pada kedudukan selesa dan akan terus berkempen sehingga saat terakhir.

“Kita tidak rasa kerana kerusi dimenangi mendiang sebanyak tiga kali, ia tiada apa-apa…kita kena kerja keras hingga saat akhir,” katanya.

PRK DUN Kuala Kubu Baharu diadakan susulan kematian Kee Hiong akibat barah pada 21 Mac lalu. Menyaksikan pertandingan empat penjuru, Sock Tao dicabar Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Hafizah Zainudin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas).

DUN tersebut memiliki 40,226 pengundi terdiri daripada 39,362 pengundi biasa, 625 anggota polis, 238 anggota tentera dan pasangan serta seorang tidak hadir luar negara.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRK Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei, hari pengundian awal pada 7 Mei dengan tempoh berkempen selama 14 hari.

Calon Kerajaan Perpaduan Pang Sock Tao (tengah) beramah mesra bersama orang ramai pada walkabout di sekitar Pasar Awam pekan Kuala Kubu Bharu pada 30 April 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

Pengarang :