Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri Himpunan Malaysia Bersama Palestin di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 24 October, 2023. – SADIQ ASYRAF/Pejabat Perdana Menteri
AGENDANASIONAL

PM: Konflik Timur Tengah hanya beri dampak kecil buat negara

KUALA LUMPUR, 15 APRIL: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memberi jaminan bahawa setakat ini perkembangan konflik Timur Tengah hanya memberi kesan kecil terhadap ekonomi Malaysia.

Beliau juga berkata pada sesi pembukaan pagi ini, indeks petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI), di Bursa Malaysia hanya turun sedikit yang mencerminkan trend serantau.

“Walauapapun, kerajaan Madani akan terus memantau perkembangan ini dengan teliti dan mengambil langkah-langkah proaktif untuk memastikan keselamatan, kebajikan dan kesejahteraan rakyat akan sentiasa terjamin.

“Kepentingan negara akan sentiasa menjadi matlamat utama kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mesyuarat tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri 1, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Luar Negeri Datuk Seri Mohamad bin Hasan, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd. Zuki Ali, dan pegawai-pegawai kanan kerajaan yang lain.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata mesyuarat itu bertujuan untuk berbincang lebih lanjut mengenai situasi tegang di Timur Tengah, mengambil kira perbincangan yang telah diadakan semalam (Isnin).

“Mesyuarat yang diadakan selama dua hari berturut-turut itu menunjukkan keseriusan kerajaan Madani melihat perkembangan ini serta usaha yang akan kami lakukan untuk melindungi Malaysia dan rakyat Malaysia daripada kesannya,” kata beliau.

Israel menggerakkan sistem anti peluru berpandu selepas Iran melancarkan srangan dron yang dilihat dari Ashkelon, Israel pada 14 April 2024. Foto REUTERS

Perdana Menteri juga berkata pelancaran dron oleh Iran merupakan tindakan yang sah berikutan serangan biadab oleh rejim Zionis Israel terhadap Kedutaan Iran di Damsyik.

“Kita berpuas hati dengan jaminan yang diberi oleh kerajaan Iran bahawa ia tidak akan mengambil apa -apa lagi tindakan, kecuali diserang oleh rejim Zionis Israel.

.”Bersama negara-negara bertamadun yang lain, Malaysia menggesa rejim Zionis Israel untuk tidak mengambil apa-apa lagi tindakan balas yang akan memburukkan lagi keadaan tegang di Timur Tengah,” katanya.

Anwar berkata, kunci penyelesaian kepada isu ini ialah penyelesaian serta-merta yang adil terhadap keadaan yang tidak berperikemanusiaan yang melanda Gaza.

Oleh itu, perhatian masyarakat antarabangsa mesti ditumpukan kepada isu ini, tanpa gangguan lain, kata beliau sambil menambah gencatan senjata yang berkekalan mesti diwujudkan untuk membolehkan bantuan kemanusiaan disalurkan.

– BERNAMA

 


Pengarang :