Pegawai penguat kuasa KPDN menjalankan pemeriksaan Ops Pantau di sekitar Pasar Awam dan Pasar raya Putrajaya pada 29 Mac 2024. Foto Facebook Nforceteam KPDN
AGENDANASIONAL

Tiada tanda harga, jual barang tiruan antara kesalahan peniaga bermusim

PUTRAJAYA, 30 APRIL: Peniaga bermusim yang kebanyakannya berniaga pada bulan Ramadan didapati gagal mematuhi sepenuhnya perundangan dikuatkuasakan terutama meletakkan tanda harga pada barangan jualan.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Azman Adam berkata hasil itu diperoleh melalui Ops Pantau 2024 bermula 12 Mac hingga 9 April lalu yang bertujuan memastikan pematuhan oleh peniaga sepanjang Ramadan dan Aidilfitri terhadap undang-undang dikuatkuasakan kementerian.

Beliau berkata 1,446 aduan pengguna diterima dalam tempoh sama melibatkan pelbagai kategori.

“Antara kesalahan dikesan adalah kegagalan meletakkan tanda harga, tidak menggunakan alat timbang yang sah dan menjual barang-barang tiruan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Azman berkata sepanjang pelaksanaan Ops Pantau 2024, sebanyak 42,697 premis diperiksa di seluruh negara dan 169 kes dihasilkan manakala 2,450 premis yang diperiksa adalah melibatkan bazar Aidilfitri.

“KPDN ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada majoriti peniaga yang telah memberikan kerjasama sepanjang pelaksanaan Ops Pantau 2024 dan berharap agar pematuhan tinggi terhadap perundangan terus diamalkan bagi memastikan persekitaran perdagangan dalam negara yang adil dan kondusif,” katanya.

Ops Pantau dilaksanakan secara seragam dan berfokus di seluruh negara dengan pemeriksaan dilaksanakan di lokasi tumpuan orang ramai antaranya bazar Ramadan, bazar Aidilfitri, pasar awam, pasar basah, pasar raya, pasar raya besar, pasar raya mini dan kedai runcit.

Selain itu, usaha berterusan kementerian dalam melindungi pengguna daripada aktiviti pengambilan keuntungan yang tidak munasabah (mencatut) oleh peniaga tidak beretika.

– BERNAMA


Pengarang :