Tangkap layar video di Facebook Wonggey menunjukkan bumbung di Blok 94, Apartment Putra Ria, Bangsar tercabut diterbangkan angin pada 25 Mei 2024.
AGENDANASIONAL

Bumbung diterbang angin: Enam rumah terjejas, sembilan kenderaan rosak

KUALA LUMPUR, 26 MEI: Sekurang-kurangnya enam unit rumah terjejas selepas bumbung tercabut diterbangkan angin manakala enam kereta dan tiga motosikal rosak akibat dihempap kepingan zink daripada bumbung yang jatuh, dalam kejadian kira-kira 5 petang tadi di Blok 94, Apartment Putra Ria, Bangsar.

Seorang penduduk, M Santha Kumari, 41, berkata rumahnya di tingkat 20 daripada pangsapuri 22 tingkat itu tidak terkesan namun cermin belakang sebuah kereta milik adiknya pecah akibat kejadian itu.

“Semasa kejadian, bumbung memang nampak dah jatuh dan saya nampak betul-betul depan mata bumbung itu jatuh timpa kereta adik saya. Angin sangat kuat dan keadaan hujan, rumah saya ramai kanak-kanak manakala adik saya juga baru bersalin, jadi perasaan risau itu memang ada,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian semalam.

Santha Kumari yang terkejut dengan kejadian itu bagaimanapun bersyukur kerana semua penduduk selamat dan hanya melibatkan kerosakan harta benda.

Abu Bakar Hasnah, 43, yang baru sahaja pulang ke rumah ibunya pula terkejut apabila mendengar bunyi dentuman yang sangat kuat.

“Saya bergegas keluar dari rumah dan melihat bumbung jatuh berterabur ke bawah serta terkena kereta di kawasan parkir bawah blok.

“Isteri saya juga sempat merakam video kejadian,” katanya sambil menambah bumbung berkenaan dipercayai mencecah usia 10 hingga 20 tahun sejak bangunan itu didirikan.

Timbalan Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Lembah Pantai Sub Zon 1 Abdul Haniff Sulaiman berkata terdapat sebuah unit rumah di tingkat 22 yang memerlukan tindakan segera kerana hampir keseluruhan bumbung tercabut.

Beliau berkata kejadian itu merupakan kali pertama berlaku dan hampir kesemua pemilik kenderaan yang terjejas telah membuat laporan kepada pihaknya manakala kontraktor bumbung juga telah hadir membuat penilaian bagi tindakan segera.

“Kami juga telah membuat laporan kepada pihak DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) dan mereka telah hadir pada malam ini… pihak syarikat pengurusan, Intra Harta Consultant Sdn Bhd juga hadir untuk membuat laporan.

“Terdapat juga wakil bagi pihak Ahli Parlimen Lembah Pantai (Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil) yang diarahkan oleh Fahmi untuk membuka bilik gerakan bagi penduduk terkesan membuat segala laporan yang sepatutnya,” katanya.

-BERNAMA

 


Pengarang :