BUDAYARENCANA

Sutradara

Oleh Adam Taufiq Suharto

Kita berada dalam sebuah bilik milik seorang Sutradara. Sutradara itu berusia dalam lingkungan 60-an, tetapi masih tegap dan sihat. Kita kekalkan sahaja nama wataknya dengan merujuk sebagai ‘Sutradara’, walaupun nama sebenarnya ialah Khidir.

Dia sedang melena dalam mimpi. Perlahan-lahan dia terjaga, menggosok-gosok matanya.  Dia mengerutkan dahi dan menggosok-gosok lagi matanya. Dia masih tak berpuas hati dan terus (cuba) melihat sekelilingnya. Dia mengesot hingga ke hujung katil dan terjatuh. Usai jatuh, dia meraba-raba sekeliling sampailah tangannya meraba cermin.

SUDUT PANDANG SUTRADARA: Gelap. Hitam.

SUTRADARA

(menjerit)

Tidak!!!!!

Di luar, semua kru yang berada di set memandang ke arah bilik sutradara. Kita fokus ke arah Medina, Penolong Sutradara, berusia kurang lebih 25 tahun, bergegas berlari ke arah bilik Sutradara. Sambil itu, kita ditunjukkan di seberang jeti berdekatan sungai tempat kru berkumpul, terdapat sebuah kapal jong diletakkan di lereng bukit.

Sesampai sahaja di bilik, Medina menghempas pintu. Kita dapat melihat Sutradara tertiarap sambil meraba-raba sekeliling lantai.

MEDINA 

(terkejut)

What the….

Medina bergegas berlari ke arah Sutradara dan bangunkan Sutradara dari terbaring.

SUTRADARA

(menangis)

Mata I, Medina! Mata I! I dah tak nampak!

MEDINA

(kaget)

You..you  tak nampak?

Beberapa jam kemudian, kru-kru dalam lingkungan 40 orang sedang duduk berdekatan pintu masuk sambil melihat Sutradara yang sedang diperiksa Doktor. Doktor menyuluh-nyuluh mata Sutradara dan beberapa minit kemudian, Doktor mengajak Medina keluar.

DOKTOR

(menghela nafas panjang)

Penglihatannya 100 peratus hilang. Saya masih tak dapat cari sebabnya. Mungkin kita perlu bawa dia ke hospital di bandar.

Seorang kru mencelah.

KRU 1

Sutradara susah nak tinggalkan set. Selalu dia sakit macam mana pun, dia takkan nak tinggal set.

KRU 2

Ya. Ada sekali tu kakinya patah pun, dia masih nak sambung penggambaran.

MEDINA

Hei! Itu lain. Hilang tangan, hilang kaki, masih boleh mengarah! Ini dia hilang penglihatan! Takkan dia masih..

Percakapan Medina terpotong kerana Sutradara bersuara.

SUTRADARA

Aku masih nak mengarah.

Mereka semua memerhatikan Sutradara yang duduk di atas katil sambil menghadap ke arah jendela. Langsir putih di jendela menari-nari mengikut ritma angin.

Beralih ke imbasan masa lepas

Dalam flashback ini, kita mulakan dengan pokok menari-nari mengikut ritma angin. Kita di bawa ke dalam hutan berdekatan dengan set penggambaran dan bilik sutradara. Kelihatan Sutradara, Medina, Bakar dan beberapa lagi kru sedang melakukan pemeriksaan dan pencarian kawasan penggambaran. Orang putih kata, recce. 

BAKAR

Ada orang kampung beritahu, kalau ada nampak benda yang menyedapkan mata, benda yang cantik-cantik, buat tak tahu. Jangan terpukau. Tinggalkan terus. Kalau tak, makan diri.

SUTRADARA

Karut, Bakar. Karut.

BAKAR

Ikutlah. Orang-orang kampung lebih tahu.

Semasa sedang hampir ke puncak, Sutradara tiba-tiba mengesan bahawa dia telah sesat dan kru-kru lain yang mengikutinya telah tiada. Dia kemudian terus berjalan hingga ternampak sekumpulan rama-rama terbang. Rama-rama itu kemudiannya memenuhi hutan dan kemudian pancaran matahari masuk.

Tiba-tiba seekor rusa berwarna putih muncul dihadapannya.  Dia terpukau dan cuba mendekatkan diri kepada rusa putih itu. Rusa putih itu menjauhkan diri daripada Sutradara dan apabila rusa itu melepasi sebatang pokok, dia berubah menjadi seorang perempuan berbaju sutera putih, dan kulitnya putih melepak. Kita namakannya sebagai Perempuan Misteri.

SUTRADARA

(terpukau)

Siapa kau?

Perempuan Misteri itu tak membalas tetapi dia berjalan mendekati Sutradara dan duduk di hadapan Sutradara yang juga dalam posisi duduk.

PEREMPUAN MISTERI

Mata kau. Ia tak sama macam orang lain melihat.

Sutradara kerutkan dahi.

PEREMPUAN MISTERI

Boleh aku dapatkannya? Bukan biji mata pun, hanya penglihatan kau.

SUTRADARA

(aneh)

Kau dah gila ke?!

PEREMPUAN MISTERI

Sebagai balasan, aku akan bantu orang-orang kau untuk angkat kapal tu naik ke bukit. Itu satu-satunya halangan kau sekarang kan?

Angin tiba-tiba bertiup kencang. Dan tiba-tiba Medina menegur Sutradara. Sutradara celikkan mata dan dia melihat Medina dan kru-kru yang mengikutinya tadi kembali ada di sekelilingnya. Sutradara menunjukkan reaksi aneh, kaget.

IMBASAN MASA LEPAS TAMAT

Menjelang petang, Sutradara diiring Medina ke arah set penggambaran yakni di jeti sebuah sungai. Di seberang jeti, kita akan dapat melihat sebuah kapal jong sedang berada di lereng bukit. Lebih kurang 50 orang pelakon dan orang kampung sedang menunggu di sana untuk memulakan babak.

Sutradara duduk di kerusinya. Medina berada di sampingnya.

SUTRADARA

Medina…

MEDINA

Ya.

SUTRADARA

Langit warna apa?

MEDINA

Di atas ungu. Di bawah kekuningan.

SUTRADARA

Golden hour.  Panggilkan Bakar.

MEDINA

Bakar di sebelah kanan you.

SUTRADARA

(toleh ke kanan)

Bakar…

BAKAR

(mendekatkan kepala kepada Sutradara)

Ya?

SUTRADARA

I mahu you, mulakan dengan wide shot. Dalam syot tu, nampakkan orang-orang kampung sedang menarik kapal naik ke atas bukit, dan dalam masa yang sama letak dalam frame matahari. Kemudian, apabila mereka sudah hampir sampai ke puncak, jadikan kapal dan orang kampung sebagai siluet. You dapat, Bakar?

BAKAR

Dapat tapi…bukan ke kita dah cuba sebelum ni? 50 orang tak cukup untuk tolak kapal tu naik ke bukit.

SUTRADARA

Kali ni boleh, Bakar. Percaya I.

Bakar angguk dan bergegas meninggalkan Sutradara dan Medina.

SUTRADARA

Med…you jadi mata I hari ni.

MEDINA

(termenung)

Tapi I….

SUTRADARA

I percayakan you. 

Medina mengambil pembesar suara, dan menekan butang on.

MEDINA

Silent on set. Talent ready? Camera ready? And action!

FOKUS WAJAH SUTRADARA SAHAJA: Dia memejamkan mata. Dalam masa yang sama, bunyi riuh redah orang-orang kampung mengusung kapal jong naik bukit kedengaran. Suara sorak-sorai dan riuh gempita terus meraksasa. Bunyi papan kayu jong bergesel dengan tanah kedengaran. Air mata perlahan-lahan jatuh di pipi Sutradara. Kemudian setelah beberapa ketika, kedengaran bunyi pelakon-pelakon ekstra orang kampung bersorak-sorai kegembiraan kerana jong berjaya sampai di puncak bukit. Kita masih fokus kepada wajah Sutradara sambil mendengar Medina memberi command.

MEDINA

And…cut! Syot yang baik!

Sutradara tersenyum.

BERALIH KE SKRIN HITAM.


Pengarang :