Antara tarikan di Muzium Permainan Tradisional Kuala Selangor yang dibuka secara rasmi mulai 14 Februari 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Masuk muzium percuma sempena Hari Muzium Antarabangsa

SHAH ALAM, 10 MEI: Tiada caj dikenakan kepada pengunjung di Muzium Sejarah Daerah Kuala Selangor dan Muzium Permainan Tradisional, Bukit Melawati sempena Hari Muzium Antarabangsa pada 18 Mei ini.

Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) memaklumkan tawaran tersebut hanya sah kepada warga tempatan manakala pelancong asing akan dikenakan kadar bayaran biasa.

“Sempena Hari Muzium Antarabangsa tiada caj akan dikenakan kepada semua pengunjung warganegara Malaysia yang masuk ke Muzium Sejarah Daerah Kuala Selangor dan Muzium Permainan Tradisional,” katanya menerusi Facebook.

Harga tiket serendah RM3 dikenakan kepada pengunjung tempatan Muzium Permainan Tradisional dan Muzium Sejarah Kuala Selangor, bermula 1 November tahun lalu.

Bagi pelancong luar negara pula adalah RM8 selain tiada bayaran dikenakan kepada kanak-kanak bawah 12 tahun, warga emas serta orang kurang upaya (OKU) warganegara.

Hari Muzium Antarabangsa disambut pada 18 Mei setiap tahun berdasarkan resolusi International Council of Museums (ICOM) sejak 1977.

Tahun ini, kerajaan menganjurkan Festival Hari Muzium Antarabangsa 2024 yang akan berlangsung di Dewan Sri Pinang, Pulau Pinang bermula 13 Mei hingga 22 Mei ini.


Pengarang :