Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika Sambutan Raya Anak Muda di Bandar Baru Batang Kali, Hulu Selangor pada 30 April 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Enggan kempen musibah lawan, tumpu kejayaan negeri, rancangan masa depan

HULU SELANGOR, 1 MEI: Kerajaan Perpaduan tidak akan menjadikan musibah dihadapi pihak lawan sebagai senjata kempen pilihan raya kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu.

Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) negeri berkata jentera parti memfokuskan pembangunan dan sumbangan yang telah dilaksana di Dewan Undangan Negeri (DUN) selain perancangan masa depan yang memanfaatkan rakyat.

“Kita tidak mahu catat kejayaan daripada bencana atau perkara yang menimpa pihak lawan. Kita mahu tonjolkan apa yang telah dicapai terutamanya sumbangan Kerajaan Negeri dan wakil rakyat sebelum ini.

“Kita juga fokus kepada apa yang bakal dilaksanakan calon Kerajaan Perpaduan disamping sokongan kuat daripada pelbagai program kebajikan Kerajaan Negeri,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau ditemui pada majlis sambutan Aidilfitri Anak Muda Batang Kali di Bandar Baru Batang Kali di sini, malam tadi. Hadir sama Penyelaras Batang Kali Saifuddin Shafi Muhammad dan barisan kepimpinan parti.

Calon Kerajaan Perpaduan, Pang Sock Tao menyapa penduduk ketika Sambutan Raya Anak Muda di Bandar Baru Batang Kali, Hulu Selangor pada 30 April 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Program yang menampilkan calon Kerajaan Perpaduan Pang Sock Tao itu meriah dengan kehadiran lebih 200 golongan belia di sekitar Batang Kali dan Kuala Kubu Bharu.

Dato’ Menteri Besar menambah, siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membabitkan seorang pemimpin kanan di utara tanah air seharusnya menjadi pengajaran kepada semua pihak.

“Ini satu ingatan kepada saya dan mereka yang memegang amanah supaya lebih berhati-hati dan menjaga integriti selain menjamin tindakan yang dibuat supaya tidak melanggar tatakelola serta asas pentadbiran yang baik,” katanya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) berucap ketika hadir pada Majlis Bacaan Yasin dan Ramah Mesra Penduduk Batu 30 di Taman Perumahan Batu 30 Batang Kali, Hulu Selangor pada 30 April 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

Pengarang :