Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika ceramah kelompok di Balairaya Kampung Kelapa, Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor pada 8 Mei 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Miskin tegar makin berkurang, Hulu Selangor rekod kurang 10 keluarga

HULU SELANGOR, 9 MEI: Angka keluarga miskin tegar di daerah ini berjaya dikurangkan dengan terbaharu kurang daripada 10 keluarga direkodkan.

Dato’ Menteri Besar berkata pencapaian itu selepas pihaknya memanfaatkan kuota Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas) yang berbaki lebih 1,000 penerima lagi.

Jelas Dato’ Seri Amirudin Shari, pelaksanaan langkah itu juga membantu sasaran penamatan sifar miskin tegar seawal Julai ini.

Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika ceramah kelompok di Balairaya Kampung Kelapa, Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor pada 8 Mei 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Sebelum ini kita ada 861 miskin tegar. Pagi tadi dalam laporan Masjlis Tindakan Ekonomi Selangor, jumlah berkurang kepada 425. Maknanya kurang 50 peratus.

“Sekarang kira-kira enam peratus lagi yang tinggal berbanding 8,000 yang dilaporkan sebelum ini. Kita yakin berjaya hapuskan miskin tegar Julai ini. Saya cuba hubungi Lembaga Zakat Selangor untuk selesaikan.

“Terbaharu Hulu Selangor ada kurang 10 orang selepas kita bersihkan dengan data-data. Kita berjaya lakukan sebab kerajaan stabil dan searah dengan persekutuan,” katanya.

Berucap di program ceramah kelompok malam tadi, pengerusi Pakatan Harapan negeri berkata pelaksanaan 46 program kebajikan turut mengurangkan jumlah miskin tegar.

Minggu lalu, Amirudin berkata pentadbiran negeri meletakkan sasaran untuk menghapuskan keluarga miskin tegar selewat-lewatnya pada Julai ini.

Bagi mencapai matlamat berkenaan, pihaknya memasukkan keluarga berkenaan sebagai penerima Bingkas, layak menerima bantuan RM300 sebulan atau RM3,600 setahun.


Pengarang :