Calon Kerajaan Perpaduan Pang Sock Tao beramah mesra bersama penduduk ketika sesi walkabout di pekan Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor pada 1 Mei 2024. Turut hadir Setiausaha Agung DAP Anthony Loke dan Setiausaha DAP Selangor Ng Sze Han. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Mudahkan pengguna, perkhidmatan bas di DUN KKB akan ditambah baik

HULU SELANGOR, 1 MEI: Sistem pengangkutan awam di Kuala Kubu Bharu khususnya perkhidmatan bas akan ditambah baik demi keselesaan penduduk, kata menteri pengangkutan.

Menurut Anthony Loke, Kerajaan Perpaduan kini dalam proses memperbanyak kemudahan bas di semua kawasan terutama yang memudahkan pengguna ke perkhidmatan rel.

“Seperti di Kuala Kubu Bharu contohnya, terdapat pekan, bandar baru, kampung dan taman perumahan yang dilihat memerlukan perkhidmatan bas yang boleh disambung dari komuter ke Lembah Klang.

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke (tengah) bercakap kepada media selepas sesi walkabout di pekan Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor pada 1 Mei 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Oleh sebab itu, kita akan cuba perbaiki dan beri perhatian kemudahan awam di sini. Sekiranya wakil rakyat dipilih daripada kerajaan sedia ada, ia akan memudahkan lagi usaha ini,” katanya.

Beliau ditemui selepas sesi berjalan kaki Bersama calon Kerajaan Perpaduan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu Pang Sock Tao di sini hari ini.

Dalam pada itu, Loke yang juga setiausaha agung DAP berkata gerak kerja bagi kempen pilihan raya kecil (PRK) di kawasan itu kekal lancar dengan pelbagai sokongan daripada parti komponen dalam Pakatan Harapan (HARAPAN).

Selain berharap mengekalkan kerusi DUN berkenaan, beliau berkata usaha akan terus dipergiat selain mengelak berada dalam zon selesa atau memandang rendah kebolehan lawan.

“Apa yang kita mahu sampaikan adalah politik stabil dan kemajuan untuk negara. Kita akan usahakan kemenangan di Kuala Kubu Bharu dan tidak boleh selesa walaupun menyandang kerusi ini,” ujarnya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon dan pengundian awal pilihan raya kecil di DUN berkenaan masing-masing pada 27 April (Sabtu) dan 7 Mei (Selasa).

Kerusi DUN Kuala Kubu Baharu kosong berikutan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong pada 21 Mac selepas bergelut melawan barah beberapa tahun lalu.

PRK Kuala Kubu Bharu ialah PRK ketujuh diadakan selepas pilihan raya umum ke-15. Seramai 40,226 pengundi berdaftar di DUN tersebut termasuk polis dan tentera.


Pengarang :