AGENDANASIONAL

Paip pecah di Seksyen 22 sedang dibaiki, bekalan air terjejas di kawasan sekitar

SHAH ALAM, 26 MEI: Kerja membaiki paip pecah di Jalan Budiman, Seksyen 22 di sini giat dilakukan dan dijangka siap sepenuhnya 6 pagi Selasa ini, maklum Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

Menurut agensi itu, sebahagian wilayah Klang, Shah Alam dan Petaling mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual sejak 6 petang tadi susulan pelaksanaan kerja-kerja pembaikan.

“Bekalan air  mula disalurkan kepada pengguna secara berperingkat sejuruskerja pembaikan siap dan sistem agihan utama bekalan air telah distabilkan.

“Bekalan air dijangka pulih sepenuhnya pada jam 6:00 pagi 28 Mei. Tempoh masa pemulihan bekalan air  adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air,” maklumnya dalam kenyataan hari ini.

Air Selangor turut menggerakkan lori-lori tangki air ke kawasan yang terlibat dengan keutamaan diberi kepada premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian.

“Air Selangor akan memaklumkan perkembangan berkaitan dengan insiden ini dari semasa ke semasa menerusi semua medium khususnya media massa,” katanya.

Pengguna boleh merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan X atau hubungi Air Selangor di talian 15300 atau layari https://www.airselangor.com/.

 


Pengarang :