Aksi pemain Malaysia ketika menentang pasukan Thailand dalam perlawanan akhir Berpasukan pada Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2024 di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur pada 26 Mei 2024. Keputusan perlawanan Malaysia tewas kepada Thailand dengan 2-1. Foto Facebook BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Penantian 33 tahun terus berpanjangan, Malaysia tewas 1-2 di tangan Thailand

KUALA LUMPUR, 26 MEI: Penantian 33 tahun skuad sepak takraw negara untuk muncul juara acara regu berpasukan terus berpanjangan selepas tewas kepada Thailand 1-2 pada final kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2024 di Stadium Titiwangsa di sini hari ini.

Keputusan dilakar di halaman sendiri itu menyaksikan skuad negara turut kempunan melengkapkan hatrik pada kejohanan tersebut selepas muncul juara acara double dan regu menumpaskan seteru tradisi itu masing-masing dengan keputusan 2-0 pada Rabu lepas.

Kali terakhir Malaysia muncul juara acara berpasukan ialah pada Sukan SEA Manila 1991 sebelum menyaksikan skuad negara terpaksa menunggu lama untuk memecahkan dominasi skuad Gajah Putih dalam sukan sepak takraw.

Pada aksi di hadapan lebih 2,000 penyokong memenuhi segenap ruang venue kejohanan itu, skuad bimbingan Ahmad Jais Baharun mempertaruhkan regu utama Farhan Adam (apit kiri), Mohammad Syahir Mohd Rosdi (tekong) dan Mohamad Azlan Alias (apit kanan) tewas 9-15 kemudian bangkit mengikat kedudukan 15-11, sebelum dipaksa bermandi peluh meraih kemenangan 15-13 ke atas Thailand pada perlawanan pertama

Regu kedua negara Amirul Zazwan Amir, Muhammad Haziq Hairul Nizam dan Muhammad Noraizat Mohd Nordin bagaimanapun gagal menyekat kebangkitan regu Thailand Wichan Temkort, Kritsanapong Nontakote dan Pichet Pansan apabila tewas straight set 8-15 dan 5-15 di perlawanan kedua.

Aksi pemain Malaysia ketika menentang pasukan Thailand dalam perlawanan akhir Berpasukan pada Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2024 di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur pada 26 Mei 2024. Keputusan perlawanan Malaysia tewas kepada Thailand dengan 2-1. Foto Facebook BERNAMA

Tatkala harapan menggunung diletakkan buat regu terakhir Aidil Aiman Azwawi, Zuhri Muhammad Zain dan Baihakki A’ripin yang beraksi baik di awal permainan apabila mendahului lima mata.

Namun kedudukan melebur dengan kemasukan tekong utama Sittipong Khamchan mengucar-kacirkan keadaan sekali gus membantu Thailand menoktahkan kemenangan 15-12 dan 15-12 pada perlawanan penentuan untuk menjulang trofi Piala Dunia edisi keempat itu.

Tekong negara Mohammad Syahir ketika ditemui selepas perlawanan berkata keputusan dilakar pada tersebut sedikit mengecewakan namun Malaysia telah membuktikan jurang perbezaan prestasi antara kedua-kedua pasukan dilihat semakin mengecil selain akan bangkit membalas dendam pada Piala Raja Thai September depan.

“Inilah acara berpasukan ada yang menang ada yang kalah. Kami akan perbaiki daripada segi pertahanan dan sebagainya.

“Kami tidak akan putus asa dan semestinya tidak akan memberikan laluan mudah pada kejohanan akan datang menentang mereka,” katanya.

Berkongsi tempat ketiga meraih pingat gangsa pada kejohanan Piala Dunia itu masing-masing Korea Selatan dan Indonesia.

– BERNAMA


Pengarang :