Majlis pecah tanah bagi pembangunan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Castlefield di Lot 133 Taman Wawasan, Pusat Bandar Puchong pada 8 Mei 2024. Foto Facebook Amirudin Shari
AGENDANASIONAL

Pembinaan baharu SJKT Castlefield bukti pendidikan semua kaum keutamaan kerajaan

SHAH ALAM, 9 MEI: Kerajaan Negeri komited mempercepat proses kelulusan pembangunan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Castlefield yang baharu di Puchong selaras kebolehupayaan Kementerian Pengangkutan.

Dato’ Menteri Besar berkata ia bagi memastikan pembinaan baharu sekolah itu dapat siap dalam tempoh 24 hingga 36 bulan daripada sekarang.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan disebabkan laluan Transit Aliran Ringan (LRT) memasuki kawasan sekolah berkenaan Kerajaan terpaksa mengambil tanah dan mencari alternatif supaya sekolah ini dapat diteruskan.

“Alhamdulillah detik yang bersejarah bagi komuniti India kerana Kerajaan Perpaduan berjaya memulakan proses pembinaan SJKT Castlefield di Puchong petang ini (semalam).

“Namun hanya dengan kepimpinan di peringkat Persekutuan dan Negeri yang sehati sejiwa, hari ini Kerajaan Selangor dan Kementerian Pengangkutan dapat bersama-sama dalam Majlis Pecah Tanah pembinaan SJKT Castlefield yang baharu di Puchong,” katanya di Facebook.

Amirudin berkata pembinaan baharu sekolah itu menggunakan dana Prasarana selaku operator LRT serta syarikat swasta DMIA Sdn. Bhd.

“Saya mengucapkan terima kepada Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook atas komitmen dan kemampuan beliau mencari solusi pembinaan baharu sekolah ini.

“Ini membuktikan tekad Kerajaan Perpaduan baik di peringkat Persekutuan mahupun Negeri untuk membela nasib dan kebajikan masyarakat India terutama dalam bidang pendidikan,” katanya.

Prasarana Malaysia Berhad akan membayar kos pampasan RM20 juta bagi penggantian dan pembangunan seluruh sekolah SJKT Castlefield di kawasan baharu iaitu Lot 133 Taman Wawasan, Pusat Bandar Puchong yang dijangka mengambil masa tiga tahun untuk siap.

Ia susulan syarikat itu telah dipertanggungjawabkan untuk membina semula sekolah ganti berikutan pengambil alihan tanah bagi projek LRT Laluan Ampang (Line Extension Project – LEP) yang turut melibatkan sekolah berkenaan.

Dhaya Maju Infrastructure Asia (DMIA) Sdn Bhd pula akan membayar lebihan kos pembinaan melalui tangunggjawab sosial dengan menjadi pemaju projek itu untuk reka, bina dan menyiapkan pembangunan sekolah berkenaan.

Kementerian Pengangkutan turut menubuhkan jawatankuasa di peringkatnya yang akan memantau pembangunan itu bagi memastikan projek dilaksanakan mengikut skop kerja dan tempoh masa ditetapkan.


Pengarang :