Orang ramai menghadiri majlis bacaan yasin dan doa selamat buat Faisal Halim di Masjid Sultan Abdul Samad, Sepang pada 10 Mei 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Penyokong doa Faisal Halim pulih sepenuhnya, rindu aksi lincah di padang

SEPANG, 10 MEI: Semua rakyat Selangor mendoakan pemain pasukan itu Faisal Halim pulih sepenuhnya serta dapat meneruskan karier bola sepak.

Wakil Selangor Soccer Fan Club (SSFC) Mohd Shahin Shah Mohd Hanafiah berkata aksi lincah pemain sayap itu bukan sahaja dirindui penyokong negeri ini tetapi seluruh peminat Harimau Malaya.

“Sebelum kejadian, saya ada berjumpa Mickey (panggilan Faisal) pada majlis perasmian baju beliau. Apabila mendengar kejadian beliau kena simbah asid, saya sangat terkejut dan kecewa.

Wakil penyokong setia Selangor Soccer Fan Club (SSFC) Mohd Shahin Shah Mohd Hanafiah. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Saya menyeru semua peminat Selangor FC serta seluruh peminat bola sepak mendoakan kesejahteraan Faisal Halim. Mengenali beliau yang kuat semangat, saya yakin kita akan dapat lihat semula aksi lincahnya di atas padang,” katanya kepada Selangorkini.

Beliau ditemui pada majlis bacaan yasin dan doa selamat Faisal Halim di Masjid Sultan Abdul Samad di sini, hari ini. Terdahulu, Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan berangkat ke majlis tersebut.

Dalam pada itu, Mohd Shahin menyokong sepenuhnya keputusan Selangor FC menarik diri perlawanan Piala Sumbangsih menentang Johor Darul Ta’zim.

“Kita kena beri ruang kepada pasukan menyelesaikan isu dalaman susulan kenyataan kelab menyatakan beberapa pemain dan pegawai turut menerima ancaman. Moral pasukan juga pasti terjejas,” katanya.

Pada Rabu, Selangor FC menghantar permohonan rasmi kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) supaya mempertimbang cadangan menunda Piala Sumbangsih yang dijadual berlangsung hari ini atas faktor keselamatan.

Bagaimanapun, MFL menerusi kenyataan menolak permohonan itu dan memberikan kemenangan kepada JDT dengan jaringan 3-0.

Ahad lalu, arena bola sepak tempatan dikejutkan dengan insiden Faisal cedera dipercayai disimbah asid dalam kejadian di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya.

Beliau disahkan mengalami kelecuran tahap empat pada beberapa bahagian anggota badan selepas menjalani pembedahan pertama pada Ahad malam, selain pergerakan dan percakapannya turut terbatas.


Pengarang :