Pemain negara meraikan kemenangan dalam perlawanan separuh akhir Piala Dunia Sepak Takraw di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur pada 21 Mei 2024. Foto Facebook Persatuan Sepaktakraw Malaysia – PSM
AGENDASUKANKINI

Piala Dunia Sepak Takraw: Malaysia tewaskan Thailand, rangkul juara berganda

SHAH ALAM, 22 MEI: Pasukan Malaysia mencipta sejarah apabila meraih gelaran berganda Piala Dunia Sepak Takraw dalam perlawanan akhir di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur sebentar tadi.

Selepas mengungguli acara beregu, skuad negara melengkapkan malam gemilang mereka dengan turut menjuarai saingan regu menerusi kemenangan ke atas Thailand, lapor portal Berita Harian.

Trio negara yang dibarisi Farhan Adam, Syahir Rosdi, Azlan Alias (Haziq Hairul Nizam) mempamerkan prestasi menakjubkan untuk menumbangkan regu Thailand, Poramet Siriswat, Sittipong Khamchan, Varayut Jantarasena (Siriwat Sakha) 15-8, 15-12.

Dibantu sokongan padu kira-kira 3,000 penyokong yang hadir di Stadium Titiwangsa, regu Malaysia bermula dengan aksi penuh meyakinkan apabila kekal mendahului sepanjang perlawanan sebelum mencatat kemenangan 21-8 di set pertama.

Thailand yang tersentak dengan kekalahan set pertama cuba bangkit dan memberi tentangan dalam usaha untuk mengheret ke set penentuan.

Bagaimanapun, trio negara diketuai Farhan kekal tenang dalam menyerap segala asakan skuad Gajah Perang sekali gus menoktahkan kemenangan 21-12 di set kedua.

Sebagai rekod, kali terakhir regu Malaysia berjaya menumbangkan Thailand adalah pada saingan Siri Super ISTAF 2015 di Melaka.

Kemenangan regu negara menambahkan koleksi kejuaraan Malaysia pada edisi Piala Dunia tahun ini gandingan Aidil Aiman Azwawi-Noraizat Mohd Nordin menjuarai acara beregu.


Pengarang :