Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain (kiri) meninjau lokasi kejadian simbah asid terhadap pemain skuad kebangsaan, Faisal Halim di sebuah pusat beli-belah di Damansara pada 9 Mei 2024. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Polis peroleh kesan cap jari, beri gambaran positif jejaki suspek

KUALA LUMPUR, 9 MEI: Kesan cap jari suspek dikesan di beberapa kawasan pusat beli belah sebelum suspek menyimbah asid kepada pemain bola sepak negara, Faisal Halim.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata hasil semakan di kamera litar tertutup (CCTV) mendapati suspek menyentuh beberapa kawasan sekitar pusat membeli belah itu.

“Kita sudah pun ekstrak beberapa cap jari yang ditinggalkan di situ, kita masih lagi menunggu analisis cap jari ini dan ia memberi gambaran positif serta mendekatkan polis kepada suspek terbaru ini,” katanya selepas melakukan tinjauan di kawasan kejadian, di sini hari ini.

Faisal diserang dengan asid ketika berada di sebuah pusat membeli belah terkemuka di Kota Damansara, Petaling Jaya, kira-kira jam 5 petang Ahad lalu.

Faisal melecur tahap empat pada badan dan muka selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali.

Ditanya mengenai tangkapan terbaharu yang tular di media sosial, Mohd Shuhaily menafikan perkara itu.

“Saya menafikan mengenai tangkapan baharu seperti dilaporkan oleh sebuah portal. Laporan sahih hanya dikeluarkan oleh pihak kami. Jangan sahkan benda yang bukan daripada sumber sahih.

“Kami yang menyiasat, kalau ada tangkapan saya akan kongsikan. Kalau tiada tangkapan pun saya akan kongsikan,” katanya lapor Berita Harian.

Mengenai suspek yang ditahan sebelum ini, beliau berkata pihaknya masih menjalankan soal siasat ke atasnya dan tiada sebarang maklumat baharu diterima.


Pengarang :