BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Teroka tapak warisan dunia, KKB tawar banyak lokasi menarik

OLEH TOURISM SELANGOR

Kuala Kubu Bharu disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia Unesco bawah kategori Garden City Heritage. Pekan ini dibina pada 1928 selepas banjir memusnahkan daerah lama Hulu Selangor.

Kuala Kubu Bharu kaya dengan aktiviti ekopelancongan seperti mendaki di Bukit Kutu, menempuhi air terjun Chilling, water tubing dan menunggang basikal gunung.

Acara sukan tahunan sering diadakan setiap tahun di sini seperti paragliding, pertandingan basikal gunung dan arung jeram (white water rafting).

Pekan itu juga terkenal dengan seni dan warisannya dengan penemuan mural yang memberikan suasana moden menerusi kisah yang berusia berdekad-dekad lalu.

Menekankan sejarah dan warisan pekan ini, lorong seni direplikasi dengan kisah masyarakat Orang Asli, Legenda Buaya Putih dan gastronomi tempatan yang unik.

Ekopelancongan dan alam semula jadi

  • Bukit Kutu, Hulu Selangor

Bukit Kutu adalah sebuah bukit bersejarah dengan laluan mendaki sepanjang 6.5km yang mencabar dan membawa anda melalui pelbagai bentuk muka bumi, serta hutan tebal dan lintasan sungai. Secara purata, pejalan kaki mengambil masa sekitar dua ke tiga jam untuk melengkapkan pendakian ke puncak setinggi 1053 meter.

Salah satu keunikan Bukit Kutu ialah kehadiran runtuhan zaman penjajah. Runtuhan ini peninggalan stesen bukit kolonial British dan menawarkan gambaran sekilas masa lalu Selangor. Puncak Bukit Kutu berfungsi sebagai tempat pemerhatian.

Dari sini, anda boleh menikmati pemandangan bukit, hutan dan lembah di sekitarnya. Kepada semua pendaki yang merancang untuk mendaki Bukit Kutu, sila dapatkan permit dari Pejabat Hutan Daerah.

  • Bukit Batu Pahat, Hulu Selangor

Terletak berhampiran Kuala Kubu Bharu, Bukit Batu Pahat ialah tempat mendaki yang popular di Hulu Selangor yang tidak memerlukan permit atau bayaran. Terletak 426 meter dari paras laut, secara purata ia mengambil masa antara satu hingga dua jam untuk ke puncak.

Bukan sahaja tempat mendaki ini disukai ramai, tetapi ia juga tempat berlepas untuk paraglider. Mereka yang berminat untuk paraglide dari Bukit Batu Pahat boleh membuat tempahan melalui Taman Paragliding KKB (CloudBase).

  • Arung Jeram (White Water Rafting), Sungai Selangor

Alami pengalaman mengembara yang menyeronokkan di Sungai Selangor dengan mencuba aktiviti arung jeram. Sungai ini mempunyai gred deras dua hingga empat. Pengunjung juga akan disediakan
pakej minuman dan makan tengah hari di sungai.

Jangan ketinggalan untuk melawati sungai ini dan kongsi keseronokan anda dengan keluarga dan rakan-rakan di tempat pengembaraan pelancongan yang menyeronokkan.

  • Water Tubing, Sungai Chiling

Aktiviti ini membolehkan pengunjung terapung di permukaan air dengan pelampung yang disediakan. Aktiviti santai yang menyeronokkan ini boleh didapati di Sungai Chiling, Hulu Selangor.

Setelah pemasangan tiub selesai, pengunjung boleh menuju ke air terjun dan Kawasan perlindungan ikan berhampiran untuk menikmati persekitaran lebih santai selepas perjalanan Panjang. Anda juga boleh berkelah bersama keluarga dan rakan-rakan di tepi sungai sambil menikmati keindahan air terjun Sungai Chiling.

  • Sungai Pertak

Sungai Pertak mengalir dan menelusuri kawasan peninggalan masyarakat Orang Asli ke Empangan Sungai Selangor. Dikenali sebagai destinasi memancing dan berkhemah, peminat 4WD dan penunggang motor juga menyusuri beberapa laluan yang merentangi sungai ini.

Sungai Pertak mengalir dan masuk ke kolam dalam dengan air terjun kecil, berhampiran kawasan penempatan. Sungai ini juga berfungsi sebagai titik permulaan pendaki ke Bukit Kutu, sebuah stesen bukit kolonial terbiar di puncak gunung setinggi 1000 meter.

Untuk pengunjung yang ingin melawati kawasan pelancongan ini, pengunjung boleh mengambil jalan utama ke Kampung Pertak sehingga hujung kampung.

Penginapan

  • Fraser Valley, Kuala Kubu Bharu

Sudah tiba masanya untuk merasai pengalaman Glamping jauh dari bandar dengan semua keselesaan dan keperluan yang tersedia. Dilengkapi tandas, kolam renang dengan gelongsor, dapur dan kemudahan lain, Fraser Valley menawarkan pelbagai aktiviti yang sesuai untuk semua peringkat umur seperti unggun api, aktiviti berbasikal, ATV dan mendayung bot.

  • The Sticks, Kuala Kubu Bharu

The Sticks ialah sebuah resort eko terletak dalam hutan tebal. Ia dibina atas tapak bekas lombong bijih timah. Mengambil kira kelestarian alam sekitar, resort ini menjana tenaga elektrik melalui tenaga suria, dengan memperoleh sumber air daripada aliran tempatan.

Luangkan masa di The Sticks dengan menginap dalam hutan, dengan bilik dilengkapi katil selesa, selimut, kipas siling dan pemanas air daripada sumber mata air. Terdapat 12 rumah unik atau dikenali sebagai ‘tendok’, berbentuk seperti khemah.

The Sticks direka untuk memastikan pengalaman penginapan menyeronokkan dan selesa serta dikelilingi alam semula jadi. Pengunjung boleh berehat dan menikmati setiap detik dengan bersantai di buaian bawah langit atau terapung di sepanjang sungai serta menjamu hidangan lazat.

  • Sarang by the Brook, Kuala Kubu Bharu

Sarang by the Brook ialah koleksi 11 rumah persendirian di tengah-tengah hutan tropika di Kuala Kubu Bharu. Dengan taman tropika yang mengelilingi landskap kolam renang air masin, Sarang by the Brook adalah sebuah kawasan intim, hanya sejam dari Kuala Lumpur.

Pengunjung boleh menyertai aktiviti yang sesuai untuk semua peringkat umur, seperti aktiviti meredah sungai, arung jeram (white water rafting) dan meneroka hutan pada waktu malam.

Gastronomi/pelancongan makanan

 

  • Tengwun Bakery & Confectionery, Kuala Kubu Bharu

Terletak di pekan Kuala Kubu Bharu, kedai roti lebih 40 tahun ini terkenal dengan puff kaya, tart dan kek buatan sendiri. Untuk yang mencari hidangan tempatan asli, kedai roti ini menawarkan kek durian menggunakan buah segar dari Batang Kali.

Pastikan anda bawa balik beberapa snek sebelum meneruskan perjalanan dan menerokai kawasan
pelancongan di Hulu Selangor.

  • Yogi Cafe, Kuala Kubu Bharu

Kafe yang mesra kanak-kanak ini memaparkan pelbagai mainan ikonik sebagai sebahagian hiasan mereka
yang juga dijual kepada pengunjung. Yogi Cafe sesuai untuk bersantai selepas seharian di pekan Hulu Selangor. Jangan lupa mencuba ais kisar, smoothie dan teh susu mereka.

Dibuka setiap hari kecuali Isnin, dari 11.30 pagi hingga 8.00 malam, Kafe Yogi salah satu tempat sesuai untuk meluangkan masa bersama keluarga ketika hari cuti anda.

 

  • Kedai Makanan Hailam Sun Sun Nam Cheong

Salah satu restoran lama di Hulu Selangor, ia terkenal dengan mi hailam. Restoran ini juga menyajikan pelbagai hidangan tempatan dan fusion selama lebih 70 tahun seperti roti bakar, nasi goreng hailam, Chicken Chop Hainan dan beberapa makanan lain.

Dibuka setiap hari kecuali Isnin, dari 7 pagi hingga 3 petang, ini salah satu restoran terbaik untuk sarapan pagi atau makan tengah hari.

  • Resepi Opah, Kuala Kubu Bharu

Anda mengidamkan masakan asli Melayu? Jangan lupa singgah ke Resepi Opah untuk menjamu selera. Beroperasi sejak 2018, Resepi Opah menawarkan masakan seperti daging salai masak lemak, mi kari, ayam goreng berempah dan banyak lagi.

Dibuka setiap hari minggu dari jam 7.30 pagi hingga 3 petang, Resepi Opah pastinya merupakan salah satu restoran yang wajib dikunjungi untuk makan tengah hari.

Acara dan festival

  • Wings of Kuala Kubu Bharu

Wings of Kuala Kubu Bharu mula diperkenal pada 2012 bagi mempromosi aktiviti memerhati burung di Bandaraya Kuala Kubu Bharu yang diiktiraf sebagai Park Heritage City.

Terdapat banyak sekolah dan universiti mengambil bahagian dalam beberapa kategori seperti Perlumbaan Burung, Fotografi Burung, Pertandingan Melukis Burung dan Eksplorasi Burung.

Wings of Kuala Kubu Bharu akan diadakan sekali lagi pada tahun ini pada 25 dan 26 Mei.

  • Bimasakti di Kuala Kubu Bharu

Alami keajaiban aktiviti memerhati bintang di Empangan Sungai Selangor. Dikelilingi bukit, Kuala Kubu Bharu sentiasa menjadi destinasi utama.

Sama ada anda bercadang untuk bermalam di sini dan berkhemah atau memerhati bintang dari puncak bukit, tempat ini salah satu kawasan pelancongan yang mesti dikunjungi.

  • Mountain Bike Challenge di Kuala Kubu Bharu

Kawasan tanah Kuala Kubu Bharu yang berbukit-bukit menjadikan ia salah satu tempat tumpuan penunggang basikal untuk mencabar diri mereka. Dari pekan Kuala Kubu Bharu ke Lembah Fraser, anda akan melihat beberapa kumpulan penunggang basikal menggunakan jalan tersebut setiap hari.

Majlis Perbandaran Tempatan mengadakan acara King of Mountain dengan laluan sejauh 40km dan berakhir di puncak Bukit Fraser setinggi 1,456 meter. Acara King of Mountain dijangka akan
diadakan sekali lagi bagi mengalu-alukan kedatangan pelancong semasa Tahun Melawat Selangor 2025.


Pengarang :