Orang ramai tidak melepaskan peluang membeli barangan asas pada harga murah sempena Karnival Jualan Ehsan di Taman Perwira, Sijangkang, Kuala Langat pada 5 Julai 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Jualan murah sempena Aidiladha, PKPS sasar peroleh hasil RM300,000

KUALA LANGAT, 5 JULAI: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menyasarkan perolehan hasil kira-kira RM300,000 melalui Karnival Jualan Ehsan sempena Aidiladha.

Pengurus kanan pemasarannya yakin sasaran itu mampu dicapai berdasarkan sambutan orang ramai pada hari pertama jualan barangan asas secara besar-besaran di Taman Perwira, Sijangkang di sini.

Pengurus Kanan Pemasaran PKPS Md Fazir Abdul Latif

“Jualan murah diadakan di lima lokasi selama empat hari berturut-turut. Jadi kita jangka jualan boleh cecah maksimum RM55,000 bergantung kepada kuantiti produk dibawa ke setiap kawasan.

“Insya-Allah (sasaran) boleh dicapai, malah hari ini PKPS terpaksa menambah beberapa bekalan sedia ada untuk tampung permintaan. Jadi, di sini kita boleh dapat hasil jualan kira-kira RM40,000,” kata Md Fazir Abdul Latif ketika ditemui.

Beliau turut mengajak orang ramai supaya tidak melepaskan peluang mendapatkan produk asas segar dari ladang dengan harga murah melalui karnival itu.

“Jadi dengan berbaki tiga hari lagi membabitkan empat tempat, kita mahu orang ramai keluar dan melihat sendiri barangan yang ditawarkan oleh PKPS.

“Ini antara kemudahan yang kita sediakan untuk membantu meringankan beban rakyat susulan kenaikan harga barang,” katanya.

Karnival diteruskan di Jalan Kantan 2, Bukit Beruntung esok sebelum ke Dataran Batu Laut, Tanjung Sepat pada 7 Julai.

Pada 8 Julai, jualan dijadual berlangsung serentak di Jalan GP2, Taman Gombak Permai, Gombak dan belakang Blok D dan E, Pangsapuri Inai, Pandan Indah.

Produk ditawarkan ialah ayam (RM15 seekor), telur ayam gred B (RM12 sepapan), minyak masak (RM2 sepaket), daging pejal (RM35 sekilogram) dan ikan sejuk beku (RM8 sepaket).

Barangan sampingan lain turut dipasarkan seperti beras, beras pulut, ketupat mini, tepung, minyak masak botol dan gula.


Pengarang :