Ketua Pegawai Eksekutif Central Spectrum (M) Sdn Bhd (CSSB) Mohamad Razif Abdul Wahab (dua, kiri) bertukar dokumen dengan Pengurus Negara Oleon Port Klang Sdn Bhd (Oleon) Stephane Bernard (dua, kanan) sambil disaksikan oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tiga, kiri) dan Duta Belgium ke Malaysia, Pascal Gregoire (tiga, kanan) pada majlis menandatangani Perjanjian Pembelian di antara CSSB dan Oleon di The Saujana Hotel Kuala Lumpur, Shah Alam pada 5 Jun 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Oleon Port Klang perluas operasi di Pulau Indah

SHAH ALAM, 5 JULAI: Syarikat pengeluar oleokimia, Oleon Port Klang Sdn Bhd (Oleon Port Klang) hari ini menandatangani perjanjian pembelian bersama Central Spectrum (M) Sdn Bhd (CSSB) bagi meluaskan operasi syarikat itu di Pulau Indah, Klang.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pembelian syarikat antarabangsa dari Belgium di kawasan seluas 10.7 ekar itu melibatkan transaksi bernilai RM30.7 juta.

“Mereka bertapak sejak 2012 dan apa yang boleh saya katakan ini adalah kawasan terakhir di Halal Hub dan kita hanya tinggal lebih kurang 60 ekar. Ini menunjukan betapa meriahnya di Pulau Indah.

“Dalam pada itu, kita juga sedang mempertingkatkan usaha memastikan bekalan air dapat disalurkan secara terus ke Pulau Indah berbanding kaedah menyalurkannya dari tanah besar yang menelan kos tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian jual beli berkenaan di Hotel Saujana Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Pada majlis itu Oleon Port Klang diwakili pengurus negaranya, Stephane Bernard, manakala CSSB diwakili ketua pegawai eksekutifnya, Mohamad Razif Abdul Wahab.

Sebanyak RM230 juta telah dilabur Oleon Port Klang sejak beroperasi di negeri ini pada 2012 dan seramai 130 penduduk tempatan bekerja di syarikat berkenaan.

CSSB adalah syarikat di bawah Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI dan milik Kerajaan Negeri Selangor yang diberi mandat untuk membangunkan dan mempromosikan Pulau Indah.

Ditubuhkan pada 1994, CSSB berjaya memperkenalkan tiga taman perindustrian utama dan terkenal iaitu Taman Perindustrian Pulau Indah (PIIP), Selangor Halal Hub (SHH) dan Taman Perindustrian Selangor Bio Bay (PISBB).


Pengarang :