Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Naib Presiden KEADILAN Dato’ Seri Amirudin Shari bersama anggota parti melaungkan reformasi sempena program ceramah Rapat Mega KEADILAN di Taman Melawati, Gombak pada 11 September 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

PRU15: KEADILAN tampil ramai calon tempatan, boleh menang

KLANG, 28 OKT: Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) menampilkan calon pilihan raya umum ke-15 (PRU15) dengan mengambil kira faktor tempatan dan boleh memberi kemenangan.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari berkata perkara itu dibuat menerusi perbincangan bersama presiden dan timbalan presiden.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas majlis perasmian peluasan sistem Smartbox ke seluruh Pejabat Daerah dan Tanah Negeri Selangor di Pejabat Daerah dan Tanah Klang pada 28 Oktober 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Malam ini pengumuman akan dibuat secara keseluruhannya dan bukannya posisi saya untuk umumkan. Namun, sebagaimana disebut strategi utama adalah kemenangan dan kita fikirkan calon yang berkualiti dan berprestasi.

“Calon dibincang bersama presiden dan timbalan dengan mengambil kira elemen tempatan dan mampu memberi kemenangan kerana Selangor negeri yang sangat terbuka serta semua boleh beri khidmat,” katanya.

Beliau ditemui selepas melancarkan sistem Smartbox Selangor yang dibangunkan Pejabat Tanah dan Galian Selangor di Pejabat Daerah dan Tanah Klang di sini, hari ini.

Malam ini, Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengumumkan senarai calon bertanding pada PRU15 di Padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya Taman Kosas, Ampang jam 8.30 malam.


Pengarang :